Lelaki bergurau tuduh TMJ 'boss pengedar dadah' ditahan Polis

GURAUAN membawa padah, itulah yang boleh digambarkan kepada nasib seorang lelaki berusia 25 tahun yang secara bergurau menuduh Tengku Mahkota Johor, TMJ sebagai boss besar pengedar dadah di halaman facebook miliknya apabila dia ditahan polis kerana tindakan itu disifatkan sebagai menghina Institusi Kesultanan Johor.



Sebelum ditahan, Shammeer Akhter sempat menulis permohonan maaf kepada seluruh warga Johor termasuk TMJ sendiri melalui akaun yang sama sambil meluahkan penyesalannya terhadap tindakan sebelum itu.

Shammeer turut merayu agar laporan Polis yang dibuat ke atasnya ditarik balik.

Dia yang tidak menyangka perbuatannya boleh jadi seteruk itu mengakui tulisan di akaun facebook sebelum itu hanyalah dengan niat untuk bergurau selain tidak berniat jahat.




Namun nasi telah menjadi bubur, difahamkan Shammeer ditahan oleh Polis di satu kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Ampang Jaya oleh Polis Kontijen Selangor.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dipetik sebagai berkata, "Polis Kontijen Johor telah menerima laporan polis berkaitan penyalahgunaan laman sosial berkenaan kenyataan menghina Institusi Kesultanan Johor melalui perkhidmatan Facebook atas nama Shammeer Akhter pada 1.03 tengah hari kelmarin.

Maklumat yang diperolehi, disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontijen Selangor dan pada jam 10.20 malam, Polis menahan lelaki berusia 25 tahun di kawasan parkir di Pangsapuri Sri Inai, Jalan Pandan Indah 22, Ampang Jaya, Selangor."

Wan Ahmad turut memaklumkan tentang rampasan peranti-peranti berkaitan yang dipercayai telah digunakan untuk memuatnaik kenyataan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 yang memperuntukan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun. — EdisiRakyat.com, 27 September 2016
Previous Post Next Post