Keluarga miskin Selangor dapat kad perubatan untuk rawatan bersubsidi di klinik swasta

KELUARGA dan pasangan suami isteri yang memperoleh pendapatan bulanan isi rumah kurang daripada RM3,000 dan telah tinggal di Selangor lebih dari satu dekad dilaporkan akan diberi kad membolehkan mereka mendapatkan rawatan bersubsidi di klinik-klinik di bawah Skim Sihat Peduli negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dilaporkan sebagai berkata, skim penjagaan kesihatan bersubsidi itu dijangka dapat memberi manfaat kepada sehingga satu juta rakyat di negeri Selangor.



Gombak akan menjadi daerah pertama untuk melaksanakan skim ini.

"Apabila keluarga telah didaftarkan, kad Peduli Sihat akan dikeluarkan kepada pemegang akaun utama dengan peruntukan sebanyak RM500 tahunan," jelasnya.

"Tanggungan termasuk isteri dan anak-anak di bawah umur 21 akan layak untuk rawatan di klinik yang berdaftar di bawah skim ini.

"Kita mempunyai 1,001 klinik di Selangor dan Lembah Klang.

"Setiap kali pergi ke mana-mana klinik masing-masing, pesakit boleh mendapat maksimum subsidi sebanyak RM50. Jika jumlah untuk konsultasi, rawatan dan ubat melebihi RM50, jumlah itu hendaklah ditambah dari poket mereka sendiri," katanya.

Dr Daroyah berkata skim itu akan ditawarkan kepada 250,000 keluarga daripada keseluruhan kira-kira satu juta keluarga di Selangor.

Isi rumah berpendapatan 40% terendah, atau Bottom 40 (B40), merupakan golongan paling terkesan dengan kesempitan ekonomi lantaran kos hidup tinggi di negara ini.

"Matlamat kita untuk meningkatkan kesihatan golongan yang tidak mampu mendapatkan ubat untuk selesema, batuk dan sejuk kerana sekali ke klinik boleh menelan kos RM35 hingga RM45.

B40 adalah isirumah dengan pendapatan 40% terendah, dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,537 atau kurang.

"Mereka adalah kumpulan yang paling terkesan setiap kali harga makanan, pakaian, sewa, bahan api dan pengangkutan naik.

Dr Daroyah berkata skim kesihatan subsidi akan meningkatkan kualiti hidup golongan miskin.

Skim Peduli Sihat selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020 yang mesra rakyat.

Ia mensasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan semua, serta kesihatan individu, untuk mewujudkan rumah tangga bahagia.

Menurut Dr Daroyah, skim ini akan diuruskan oleh Selgate Corporation Sdn Bhd.

Selgate Corporation ialah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Tambahnya, satu lagi kategori ialah individu yang berusia lebih daripada 21 tahun dan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Mereka juga boleh mendaftar untuk mendapatkan kad Peduli Sihat dengan subsidi maksimum RM200 setahun.

"Bagi individu-individu ini subsidi maksimum RM50 boleh digunakan pada setiap kali lawatan ke klinik swasta," katanya. — EdisiRakyat.com, 24 Januari 2017

Previous Post Next Post