Lima cara untuk mengelakkan dehidrasi ketika berpuasa

BULAN Ramadhan adalah bulan yang sangat bermakna bagi umat Islam kerana kita bukan sahaja dituntut untuk menahan, nafsu, lapar dan dahaga malah setiap amalan kita dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda.

Perkara yang paling mencabar ketika bulan Ramadhan ialah apabila tiba waktu tengah hari di mana kelaparan dan dahaga begitu terasa kerana badan mula terhidrasi akibat pengambilan air yang tidak cukup untuk mengekalkan fungsi tubuh badan.

Dehidrasi menyebabkan kita mengalami sakit kepala, pening, lesu dan keletihan.



Pengambilan makanan seimbang dan meminum 8 gelas air sehari adalah penting tetapi ada perkara lain yang perlu anda ingat untuk membantu anda kekal segar dan bertenaga tanpa masalah dehidrasi.

Berikut adalah beberapa tips untuk membantu anda mengelakkan dehidrasi ketika berpuasa:


1. Mengelakkan minuman berkafein

Adakah anda salah seorang daripada penggemar teh dan kopi? Tahukah anda bahawa minuman ini mengandungi kafein.

Kelafein mempunyai kesan diuretik yang meningkatkan pengeluaran air kencing yang menyingkirkan garam dan air daripada badan.



Pengambilan kafein yang berlebihan boleh meningkatkan rasa dahaga yang mana peningkatan penyingkiran air dan tubuh badan berkadaran dengan peningkatan kafein yang diambil.

Mengambil air tulen adalah yang terbaik ketika sahur.
Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya satu gelas air tulen bersama dengan buah-buahan yang manis seperti kurma ketika berbuka puasa.


2. Berbuka puasa dengan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur sayuran.

Makan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan sahaja baik untuk kesihatan anda, malah membantu penghidratan tubuh badan anda.

Buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu mempunyai kandungan air yang tinggi dan merupakan cara yang baik untuk menyegarkan kembali tubuh badan anda selepas seharian berpuasa.



Antara buah-buahan dan sayur-sayuran yang bagus dimakan ketika berpuasa adalah tembikai, timun tomato dan saderi kerana kandungannya airnya yang tinggi.

Anda boleh mempelbagaikan menu berbuka puasa anda dengan buah-buahan dan sayur-sayuran sama ada dimakan begitu sahaja atau digabungkan sebagai salad.


3. Elakkan makanan pedas atau masin

Adakah anda penggemar makanan pedas dan masin? Tahukah anda bahawa pengambilan makanan berunsur masin dan pedas meningkatkan keperluan badan untuk mengambil air.

Tidak salah jika anda ingin makan makanan masin dan pedas, tapi pastikan anda mengambil makanan jenis ini dalam kuantiti yang kecil.

Jika anda memasak sendiri, kurangkan penggunaan garam dan terlalu banyak rempah dalam masakan bagi mengurangkan risiko dehidrasi.


4. Jangan minum air yang banyak sekaligus, minum dalam sela masa tertentu

Ketika bersahur pastinya ini yang kerap anda lakukan yang mana anda meminum beberapa cawan air sekaligus untuk mengelakkan rasa dahaga ketika berpuasa.

Malangnya, minum air yang banyak sekaligus akan menyebabkan badan anda menyingkirkan air itu dengan cepat tidak lama kemudian.

Pasti anda menyedari menjelang pagi, anda kerap membuang air kecil.

Untuk membantu mengelakkan badan mengalami dehidrasi, banyakkan meminum air dalam sela masa tertentu sejak dari berbuka puasa hingga ke tempoh akhir bersahur.

Salah satu cara yang boleh anda lakukan adalah menyimpan air di dalam botol dan letakkan berdekatan dengan anda dari waktu malam hingga sebelum waktu imsak agar anda memudahkan anda memaksimakan pengambilan air.


5. Elakkan terdedah terlalu lama kepada haba dan kepanasan

Dengan cuaca negara kita yang beriklim tropika, pastinya tidak terlalu mudah untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada matahari dan kepanasan.



Suhu yang panas akan menyebabkan kita berpeluh yang mana cecair disingkirkan daripada tubuh badan.

Apa yang boleh anda lakukan adalah, cuba untuk menghadkan masa anda diluar dan duduk di tempat yang teduh dan persekitaran sejuk.

Jika tuntutan kerja anda menuntut anda bekerja di luar dan dalam pejabat, cuba untuk susun jadual anda agar kerja yang perlu dilakukan di luar dilakukan pada waktu pagi dan kerja di dalam pejabat dilakukan pada waktu tengah hari yang mana kepanasan matahari memuncak pada waktu itu.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu anda mengekalkan stamina anda dan kekal  ceria walaupun sedang berpuasa tanpa masalah dehidrasi.. — EdisiRakyat.com, 1 Jun 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post