Pelajar 13 tahun hentak kepala cikgu dengan batu ketika solat

SEORANG guru di Lahad Datu, Sabah menerima 17 jahitan di bahagian dahi selepas dihentak menggunakan seketul batu oleh seorang pelajar pada tengahari hari Isnin lalu.

Ketika itu mangsa dilaporkan sedang menunaikan solat Zuhur di dalam surau di mana dia mengajar apabila suspek seorang pelajar berusia 13 tahun melakukan serangan tersebut kerana takut ditangkap akibat perbuatan mencuri.

Guru berusia 23 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Lahad Datu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Suspek kemudiannya telah ditangkap oleh guru-guru dan kakitangan keselamatan di sekolah selepas kejadian yang berlaku pada jam 1.50 tengah hari itu. Dia kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis.



"Suspek menghentak kepala gurunya sebab dia takut ditangkap akibat perbuatannya mencuri duit cikgu itu.

"Jeritan cikgu terbabit telah menarik perhatian pengawal keselamatan dan guru-guru lain yang kemudiannya telah menangkap suspek," kata Ramli.

Tambahnya lagi, pelajar berkenaan sedang ponteng kelas dan pergi ke surau tersebut dengan niat untuk mencuri.

"Dia kini sedang ditahan reman di bawah Seksyen 393/394 (cubaan melakukan rompakan/ sengaja mencederakan dengan niat untuk merompak) Kanun Keseksaan," katanya. — EdisiRakyat.com, 20 September 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post