Kotak kasut 'bernilai' RM1 juta, bekas ketua polis ditahan

SEJUMLAH wang bernilai hampir 1 juta dan barang kemas ditemui di dalam kotak kasut dan peti besi di dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumah bekas Ketua Polis Daerah Taiping.

Penemuan itu susulan penangkapan Pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berusia 59 tahun yang ditahan kira-kira 7.30 petang Khamis lalu di Pejabat SPRM Perak untuk membantu siasatan atas kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kedudukan.

Menurut sumber yang dilaporkan oleh Astro Awani, suspek juga menerima sejumlah wang bernilai RM70, 000 daripada seorang ahli perniagaan wanita melalui akaun isterinya dengan dua transaksi sejumlah RM20,000 dan RM50,000.



Ahli perniagaan wanita yang berkepentingan itu juga dilaporkan sumber telah memberikan sejumlah wang untuk majlis perkahwinan anak pegawai tersebut pada Februari lalu.

Susulan itu, ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun dan isteri kepada pegawai tersebut yang merupakan suri rumah berusia 54 tahun turut ditahan.

Kesemua suspek kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi oleh sumber media mengesahkan tangkapan tersebut.—EdisiRakyat.com, 9 Disember 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post