Berkat majlis perkahwinan, tetamu 'dihujani' beras

KEBIASAANNYA, apabila menghadiri majlis perkahwinan , kita akan dibekalkan buah tangan seperti telor, gula-gula, biskut dan pelbagai barangan yang sudah menjadi norma tetapi menerima sekampit beras sebagai buah tangan tentunya merupakan satu rahmat.


"Unik" dan "lain dari yang lain", itulah perkataan yang sesuai digambarkan apabila seorang bapa, Azmi Mohd Noor, yang merupakan pengerusi Yayasan Fatimah Az-Zahra sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk mengagihkan 7,000 kampit beras 5 kg kepada tetamu yang menghadiri majlis menyambut tetamu di rumahnya Ahad lalu.


Ia menyebabkan jalan masuk ke rumahnya di Taman Sri Linchong Gaal mengalami kesesakan sehingga hampir dua kilometer.


Menurut yang dipetik dalam laporan Harian Metro, Mohd Noor ketika ditemubual berkata, "Saya memilih untuk mengagihkan beras sebagai cenderahati bukanlah untuk meraih populariti, tapi mahu meraikan tetamu."


beras 5 kg

"Ia bagi menghargai mereka yang datang sambil dapat beramal," tambahnya lagi.


Majlis menerima menantu perempuan buat kali pertama sangat mengujakan sehingga beliau menumbangkan 5 ekor lembu untuk menu masakan 17 kawah gulai selain 7ekor kambing bakar dan 500 ekor ayam yang dimasak secara bergotong royong.


"Alhamdulillah, majlis sambut menantu berjalan dengan lancar dan kediaman kami dipenuhi tetamu jemputan yang hadir," tambah bapa pengantin tersebut.


Beliau memanjatkan kesyukuran apabila majlis kenduri untuk anak sulung lelakinya yang dikenali sebagai Mohd Nasruddin dan cinta hatinya Nor Suhaida Mohamad yang melibatkan jemputan seramai 7,000 tetamu berjalan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.—EdisiRakyat.com, 19 Februari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post