Dua lagi nyawa melayang rempuh Plaza Tol Batu Tiga

DUA lagi pengguna Lebuhraya Persekutuan terbunuh apabila kereta yang mereka pandu dilaporkan merempuh tiang Plaza Tol Batu Tiga yang sudah tidak lagi digunakan.


Kemalangan maut melibatkan plaza tol itu dilapor merupakan yang kedua berlaku di lokasi berkenaan, selepas satu kejadian berlaku sebelum ini di mana dua rakan kehilangan nyawa manakala seorang lagi cedera pada 15 Januari lalu.


Ketua polis daerah Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib dilapor berkata mangsa dikenali sebagai Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31 dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu dari Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam, dan ia dipercayai telah dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh tiang plaza tol berkenaan.


"Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menyambut hari jadi Noor Hidayah pada 18 Februari semalam.


"Fathurezza Khoirul Huda dan Noor Hidayah disahkan maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian badan, dan bahagian hadapan kereta juga remuk," katanya yang dipetik oleh NST hari ini.


Menurut Baharudin, jenazah mereka telah dihantar ke hospital Alam Shah untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Ramai pengguna lebuhraya berkenaan sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan tentang risiko kemalangan dan menyeru pihak berkuasa untuk segera merobohkan struktur plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang sudah tidak beroperasi lagi.


Plaza Tol Batu Tiga

Bagaimanapun, PLUS Malaysia Berhad, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap Lebuhraya berkenaan, menjangkakan proses merobohkan kedua-dua Plaza Tol itu hanya dapat disiapkan pada akhir Mac.


Syarikat itu memaklumkan bahawa segala kelengkapan, papan tanda dan aset-aset akan ditanggalkan terlebih dahulu sebelum tindakan merobohkan struktur fizikal bermula.


Kedua-dua Plaza Tol berkenaan telah menghentikan operasi bermula pada 1 Januari berikutan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan bajet pada bilan Oktober 2017. — EdisiRakyat.com, 19 Febuari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post