Agama Jain atau Jainisme, berpuasa sehingga mati dan bertelanjang bulat untuk capai keimanan

JAINISME adalah sebuah agama yang merupakan gerakan yang wujud di celah-celah perkembangan agama Hindu di India.


Perkataan 'jain' bermaksud penaklukan manakala jainisme adalah agama penakluk. Agama Jain diasaskan oleh 'Mahavira' atau nama sebenarnya Nataputta Vardhamana yang hidup sekitar tahun 599-527 SM.

Beliau menggelarkan dirinya sebagai 'mahavira' yang bermaksud pahlawan besar. Agama ini wujud disebabkan amalan kelas kasta oleh penganut Hindu terutama golongan Brahmin yang melampau.

Jainisme

Mahavira mengkritik sistem kasta yang dimanipulasi oleh golongan Brahmin ketika itu lalu mewujudkan agamanya sendiri.

Berbeza dengan agama Buddha yang memiliki penganut lebih luas di luar India, Agama Jain tidak berkembang pesat di luar India.


Golongan pengikut agama Jain dipanggil sebagai 'Jaina' dan mereka mempercayai bahawa wujudnya 24 Tirkhankkara atau 'pengasas ajaran'.

Mahavira dianggap sebagai salah seorang dari Tirkhankkara, beliau lahir di India sebelah Timur laut di daerah yang sama dengan tempat di mana Gautama Buddha dilahirkan. Namun beliau lahir lebih awal berbanding Buddha.

Ketika masih kecil lagi beliau sudah menjadi pendeta dalam sebuah aliran disiplin kerohanian yang sangat ketat. Selama 12 tahun beliau melakukan meditasi dan kerap berpuasa serta tidak memiliki harta walaupun sedikit.

Malah beliau tidak memiliki cawan untuk minum dan tiada piring untuk mengumpulkan makanan hasil dari pemberian orang ramai.

Dalam perjalanan kerahibannya, baju yang selama ini dipakainya dibuang sebelum beliau kemudian berjalan ke sana-sini dalam keadaan bertelanjang bulat.

Ini kerana beliau beranggapan selagimana dirinya memiliki perasaan malu untuk bertelanjang maka itu menunjukkan bahawa dirinya belum mencapai tahap 'pertapaan' yang difahaminya.

Mahavira turut membiarkan serangga merayap pada tubuh badannya malah turut membiarkan serangga yang menggigit kulitnya.

Meskipun penampilan dan tingkah laku Mahavira seringkali menimbulkan kemarahan, cercaan dan penghinaan namun semua itu langsung tidak dihiraukannya.

Mahavira digambarkan dengan keadaan tidak berpakaian ketika sedang melakukan meditasi. ketika umurnya mencapai 40 tahun Mahavira mendakwa dirinya sudah mencapai tahap kesedaran spiritual.


Sisa umurnya selama 30 tahun dihabiskan dengan berkhutbah dan mengajar masyarakat mengenai perjalanan kerohanian yang sudah dirasainya.

Pada tahun 527 SM, belum meninggal dunia dan memiliki pengikut yang ramai. 

Konsep ketuhanan dalam agama jain sangat kabur, kerana ia seakan tidak menceritakan mengenai ketuhanan dalam ajarannya secara terperinci.

Namun begitu terdapat beberapa doktrin dan kepercayaan Mahavira yang memiliki banyak persamaan dengan ajaran Buddha mahupun Hindu.

Ini kerana Agama Jain juga turut terpengaruh dengan doktrin agama Hindu.

Antara kepercayaan yang diamalkan dalam agama ini ialah:

1. Ahimsa
Ahimsa merupakan perkara paling penting dalam Agama Jain, ia merupakan satu doktrin yang menetapkan supaya para penganutnya agar tidak melakukan sebarang kerosakan. Dalam bahasa Sanskrit perkataan 'himsa' bermaksud kecederaan, manakala 'a' pula bermaksud tidak.

'Ahimsa' atau dalam bahasa lainnya juga disebut sebagai anti-kekerasan menuntut para penganut mengamalkan sikap untuk tidak melakukan sebarang kekerasan terhadap manusia mahupun haiwan.

Disebabkan oleh kepercayaan ini, penganut agama ini digelar sebagai 'vegetarian' kerana mereka hanya memilih untuk makan makanan yang berasaskan sayur-sayuran sahaja.

Malah ada juga dalam kalangan penganut yang taat sanggup membiarkan nyamuk menggigit kulit mereka kerana tidak mahu membunuh serangga kecil tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan makan di kawasan yang gelap kerana bimbang sekiranya ada serangga yang turut hinggap di makanan mereka, mereka mungkin secara tidak sengaja akan termakan serangga tersebut.

Selain itu jika seorang penganut agama jain ingin menyapu sampah di halaman atau di jalanan mereka akan mengupah orang lain yang bukan beragama Jain untuk menyapu kawasan berkenaan kerana bimbang terpijak serangga, cacing, atau haiwan kecil yang lain.

Penganut Jainisme akan sentiasa menutup mulut mereka kerana bimbang akan tertelan serangga atau apa-apa yang dilarang untuk mereka sakiti.

2. Samayika
Agama ini juga sangat menekankan soal meditasi yang dikenali sebagai 'Smayika'. Mereka perlu memperuntukkan selama 48 minit sehari untuk melakukan meditasi tersebut. Matlamat mereka melakukan ritual ini adalah untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan minda. 

3. Tanah Suci
Dalam agama Jain, mereka juga memiliki tanah suci. Antara tanah suci mereka ialah Gunung Abu di Rajasthan, Gunung Dinar di Saurathra dan Shatrunjaya di Gujerat.

Mengikut kepercayaan mereka, di kawasan inilah diutuskan Tirthankara lain selain daripada Mahavira. Penganut agama jain digalakkan untuk melakukan ziarah ke sana.

4. Amalan pemujaan
Amalan pemujaan di dalam Jainisme berbeza dengan agama Hindu. Mereka melakukan pemujaan dengan cara menghiasi patung-patung Tirthankara yang dibina didalam kuil-kuil mereka.

Mereka akan membasuh patung-patung tersebut dengan air, susu, dan madu. seterusnya patung-patung tersebut akan dihiasi dengan bunga-bungaan, pewangi serta permata.

Ketika melakukan amalan pemujaan ini mereka juga akan menyanyi sambil membaca mantera.

5. Berpuasa (Sallekhana atau Santhara)
Penganut Jainisme juga digalakkan untuk berpuasa. Namun pemahaman serta cara mereka berpuasa agak berbeza. 

Salah satu amalan berpuasa yang kontroversi dalam Jainisme ialah Sallekhana dan Santhara iaitu amalan berpuasa sehingga mati.


Penganut Jain yang ingin melaksanakan ritual Santhara hendaklah bersumpah untuk berpuasa dengan berhenti makan dan minum serta melepaskan segala perkara bersifat duniawi sehinggalah mereka mati.

Mereka percaya bahawa Santhara dapat membersihkan diri dari karma buruk dan mencapai 'mokhsa'.

Mokhsa adalah pembebasan dari kitaran hidup (Samsara) yang mirip seperti kepercayaan di dalam agama Hindu.

Setiap tahun terdapat ratusan penganut Jainisme melaksanakan puasa Santhara. bagi mereka yang berjaya berpuasa sehingga mati mayatnya dianggap mulia dan akan diarak ke seluruh bandar.

6. Kitab suci
Agama Jainisme juga mempunyai kitab suci. kitab suci ini ditulis oleh pengikut-pengikut Mahavira selepas kematiannya. Ia dipanggil sebagai 'agamas' terdapat juga kitab lain yang lebih berautoriti bernama 'Kalpa Sutra' atau juga dikenali sebagai kitab upacara dan ritual Jain.

Mereka juga mempunyai kitab bernama Tattvartsutra sebagai kitab yang penting dalam agama Jainisme.

7. Dua aliran utama (Digambaras dan Svetambaras)
Terdapat dua aliran utama dalam jainism iaitu Digambaras dan Svetambaras.

Bagi penganut aliran Svetambara, mereka boleh dikenali dengan cara pemakaian yang mengenakan pakaian berwarna putih serta memakai penutup mulut.


Mereka juga turut dibekalkan dengan beberapa barangan antaranya persalinan pakaian, mangkuk untuk meminta sedekah, tongkat dan penyapu.

Aliran ini dilihat agak lunak berbanding dengan aliran Digambara kerana mereka mengutamakan pemakaian.

Golongan ini diajar untuk meminta-minta bagi mendapatkan makanan. Setiap tahun selama lapan bulan mereka akan menziarahi kuil Jain.

Selain itu aliran ini juga turut mengiktiraf kaum perempuan dan mereka boleh menjadi pemimpin.

Aliran Digambara pula adalah golongan Jain yang langsung tidak memakai baju dan bertelanjang bulat. menurut kepercayaan mereka sekiranya seseorang itu dapat menghindari perasaan malu dengan tidak berbaju maka ia dianggap telah sempurna keimanannya. — EdisiRakyat.com, 31 Oktober 2020

Post a comment

0 Comments