Cara khusyuk dalam solat

SOLAT adalah perkara pertama yang bakal dihisab oleh Allah S.W.T diakhirat kelak. Solat ialah jantung amalan yang mana perlu diiringi dengan kusyuk untuk mencapai kesempurnaan dalam solat.
Tanya pada diri anda, adakah selama ini anda solat dalam keadaan kusyuk? Apakah itu khusyuk?

Khusyuk adalah melakukan sesuatu dengan penuh minat, sebulat hati dan bersungguh-sungguh. Dari segi istilah pula adalah, perasaan takut tetapi dalam keadaan tenang.Takut yang dimaksudkan adalah mempercayai  azab siksaan Allah dan mengakui akan kebesaran Allah sebagai Tuhan yang mentadbir seluruh alam.


Bagaimana cara khusyuk dalam solat? Anda boleh mencuba beberapa cara ini,

1. Berada dalam keadaan bersih dan selesa

Fizikal yang bersih akan mewujudkan keselesaan untuk beribadah yang mana anda tidak dalam keadaan terasa ingin membuang air kecil, buang air besar kentut atau mengalami gatal-gatal badan akibat peluh.

Dalam keadaan tubuh badan yang selesa, tiada apa yang boleh mengganggu konsentrasi anda atau menyebabkan anda melakukan pergerakan yang boleh mengganggu solat anda.

Sunat untuk membersihkan gigi sebelum solat iaitu dengan bersugi. Disamping menghilangkan bau mulut, anda juga mendapat pahala sunnah, dengan izin Allah.

solat-khusyuk

2. Sempurnakan wuduk

Syarat sah solat ialah dengan berwuduk. Ketika hendak solat setiap orang perlulah bersih daripada hadas kecil dan hadas besar dengan berwuduk supaya solatnya diterima oleh Allah.

Pastikan anda mengambil wuduk dengan sempurna iaitu merasakan air mengalir tanpa halangan ke semua anggota rukun wuduk dengan menggunakan air mutlak tanpa cacat cela dan tidak membazir ketika mengambil wuduk.


Bagi orang perempuan yang kerap memakai alat solek, pelembab atau sebagainya di muka dan tangan, pastikan anda membersihkan kesemua benda dan perkara yang boleh menghalang air sampai ke kulit anggota wuduk di samping teliti mengenai kebersihan pakaian dalam dan bahagian intim agar tidak solat dalam keadaan berhadas yang mana menyebabkan solat anda tidak sah.

3. Solat di awal waktu 

Untuk mendapatkan solat yang khusyuk, pastikan anda dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gopoh dan  adalah afdhal solat di awal waktu di mana masa untuk solat masih panjang.

Apabila anda masih berada di awal waktu, anda mempunyai masa tempoh bertenang untuk memfokuskan minda anda untuk solat tanpa memikirkan urusan dunia.

Solat di awal waktu juga afdhal seiring dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Farwah, dia berkata:

hadis-nabi

4. Solat dalam keadaan tidak lapar dan tidak terlalu kenyang

Untuk menghadirkan khusyuk dalam solat, pastikan tiada apa yang menjadi halangan untuk anda hadirkan khusyuk. Jika anda sedang lapar sehingga anda yakin bahawa anda tidak mampu khusyuk dalam solat, hendaklah anda menjamah makanan terlebih dahulu. Jika anda tidak menjamah makanan, dikuatiri anda akan terbayang-bayang makanan dan terfikir fikir tentang perut anda yang lapar.

Jika makanan telah terhidang sebelum anda solat, disunatkan untuk makan terlebih dahulu bagi mengelakkan anda hilang fokus untuk mengingati Allah ketika solat. Terdapat satu hadis nabi yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, " Nabi bersabda, 

hadis-nabi

Elakkan solat ketika perut terlalu kenyang. Makanlah sesuai dengan cara  sunnah nabi iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Ketika anda terlalu kenyang, pasti anda akan mengalami rasa mengantuk dan keletihan. Jika anda menunaikan solat ketika ini pasti anda tidak dapat memberi tumpuan.

5. Membayangkan ini solat terakhir kita

Bayangkan anda sedang menunggu hukuman mati sebentar lagi dimana malaikat maut sedang menanti untuk mencabut nyawa anda. Sabda Rasulullah S.A.W,

hadis-nabi

Pastinya akan cuba menunaikan solat yang terbaik dengan penuh khusyuk, merasakan benar benar sedang berbicara dengan Allah memohon keampunan dan menyesali segala dosa kesalahan anda.

Bacaan dalam solat yang penuh penyerahan diri, pujian-pujian dan doa pada Allah pasti dapat anda lafazkan dengan sepenuh hati apabila membayangkan ketakutan dan azab Allah di kemudian hari. Pastinya anda terasa ingin menyempurnakan bacaan anda dengan penuh penghayatan dan terasa ingin berlama-lamaan berbicara dengan Allah mengharapkan pengampunannya.


6. Memahami bacaan dalam solat

Seumur hidup anda solat, tahukah anda apa yang anda ucapkan di dalam solat? Solat adalah perbicaraan dengan Allah, tapi bayangkan jika anda tidak faham apa anda lafazkan, bagaimana mencapai kekhusyukan dan menyerah diri. Apabila anda tidak faham apa yang anda lafazkan, pasti hati anda mudah lalai dan fikiran anda menerawang memikirkan hal dunia.

Tahukah anda bahawa bacaan dalam solat begitu sempurna mengandungi zikir, selawat dan doa yang sangat bagus. Malang bagi kita jika meminta sesuatu dengan Allah tapi tidak dengan sepenuh hati kerana tidak tahu apa yang dimaksudkan ketika melafazkan. Memahami bacaan dalam solat dan ibadah membantu kita menghayatinya dan merasa kenikmatan sesuatu ibadah.

7. Memandang ke arah tempat sujud

Pusatkan pandangan anda ke tempat sujud dan penglihatan mata anda dari memandang ke kiri dan ke kanan kerana itu mampu mengganggu konsentrasi anda dan kekhusyukan anda ketika solat.

Apabila anda memandang ke kiri dan ke kanan atau tidak tetap pandangan ketika solat, pasti pandangan anda membuat anda tidak mampu fokus dan mengganggu anda.


Menurut kitab Ihya' Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, "Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekaligus mengganggu kekhusyukan seseorang. " Oleh itu, cara yang terbaik adalah menjauhi apa-apa yang boleh mengganggu khusyuk seperti memakai sejadah yang bercorak-corak, menunaikan solat ditempat yang dipenuhi barang yang boleh mengganggu menarik yang boleh mengganggu fokus. 

8. Membayangkan Kaabah didepan mata

Alangkah indahnya bagi mereka yang pernah mengerjakan umrah dan haji pasti pernah melihat Kaabah di hadapan mata. Untuk mencapai khusyuk dalam solat, cuba bayangkan kaabah tersergam indah dihadapan mata. Bayangkan kita sendirian menghadap kiblat kita dengan penuh rasa rendah diri merasakan kebesaran Allah.

Bagi mereka yang belum ke tanah suci, bolehlah mengamati rakaman di laman YouTube gambaran Kaabah dan cuba masukkan dalam kotak fikiran anda.

Semoga dengan usaha kita menyempurnakan solat dengan khusyuk mampu membuat kita mencapai redha dan rahmat Allah untuk ke syurganya. Wallahua'lam.

Post a Comment

Previous Post Next Post