Suspek Macau Scam belanja RM4 juta sebulan sogok pelbagai pihak untuk tutup jenayah

SUSPEK Macau Scam dan sindiket perjudian dalam talian membelanjakan antara RM2 juta hingga RM4 juta sebulan kepada pelbagai pihak bagi menutup jenayahnya lapor Utusan Malaysia.


Antara pihak yang menerima sogokan itu dilaporkan termasuk polis dan orang berpengaruh. 

Perkara itu disyaki dilakukan oleh Goh Leong Yeong, 32 juga dikenali dengan gelaran popular Alvin yang turut menggunakan gelaran 'Datuk Seri' palsu bagi menghidupkan aktiviti jenayah nya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Alvin Macau Scam

Utusan Malaysia memetik sumber mendakwa dana yang diterima dari Macau Scam dan Perjudian Atas Talian telah dibahagikan di antara pelbagai pihak yang berpotensi untuk 'meniup wisel' berhubung kegiatan haram sejak lima tahun lalu.

Alvin kini diburu oleh pihak polis selepas berjaya melarikan diri dari perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober lalu.

Menurut sumber itu lagi, siasatan mendedahkan hampir 100 orang mungkin menerima sogokan dari Alvin.

"Ini termasuk individu berpengaruh, pegawai dan polis yang telah ditahan atau disiasat oleh SPRM,"


"Wang itu dibayar untuk melindungi jenayah Macau Scam dan perjudian atas talian serta memberikan maklumat jika pihak berkuasa merancang serbuan," kata sumber itu.

Katanya lagi, agensinya masih menyiasat jenayah yang didakwa dilakukan oleh Alvin dan ketua sindiket lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Alvin dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka.


Suspek berjaya melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terbabit dalam kes Macau Scam baru-baru ini.

Suspek dilihat menaiki kenderaan jenis Vellfire bersama peguamnya dan dua pengawal peribadi.

Namun apabila sampai di pagar utama bangunan berkenaan, tangkapan semula terhadap suspek oleh pihak polis gagal selepas mendapati suspek tiada dalam kenderaan berkenaan.


Pemeriksaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati suspek telah bertindak memanjat pagar untuk melarikan diri dibantu oleh dua pengawal peribadinya sebelum menaiki sebuah lagi kenderaan yang menunggu di luar pagar. — EdisiRakyat.com, 20 Oktober 2020

Post a comment

0 Comments