Dua saintis ini ubahsuai kucing hidup jadi telefon

TERDAPAT saraf auditori atau juga dipanggil sebagai saraf koklea yang menyambungkan antara telinga secara terus dengan otak.

Fungsi saraf ini adalah untuk menukarkan isyarat bunyi yang terhasil daripada getaran gegendang telinga kepada isyarat elektrik (impuls) untuk dihantar dan ditafsirkan oleh bahagian tertentu di dalam otak.

$ads={1}

Berdasarkan pemahaman itu, dua orang saintis bernama Profesor Ernest Glen Wever dan pembantunya, Charles William Bray di Universiti Princeton telah berjaya menjalankan eksperimen menukarkan dan ubah suai seekor kucing hidup menjadi sebuah telefon.

Ops, bukan kucing ini! Ini hanya gambar hiasan.

Wever dan Bray menggunakan seekor kucing yang hidup namun telah dipengsankan sebelum menukarnya menjadi sebuah telefon bagi menguji bagaimana isyarat bunyi yang dibawa oleh saraf auditori.

Dalam eksperimen itu mereka telah memberikan ubat penenang kepada seekor kucing, bagi menghilangkan kesedaran sebelum membuka tengkoraknya untuk memudahkan mereka melakukan pengubahsuaian kepada saraf auditori haiwan berkenaan.

Seutas wayar telefon telah disambungkan kepada saraf tersebut, manakala hujung wayar itu disambungkan pula kepada sebuah alat penerima isyarat telefon.

Kajian itu berjaya! 


Apabila Bray bercakap menerusi telinga kucing berkenaan, Wever dapat mendengar suara pembantunya itu menerusi alat penerima yang diletakkan pada jarak lima puluh kaki dalam sebuah bilik yang kedap bunyi.

Kesimpulan yang diperoleh mereka hasil eksperimen itu mendapati, tindak balas yang terhasil daripada frekuensi bunyi dalam saraf sensor berkadar langsung dengan kadar rangsangan yang dihasilkan oleh saraf.

Dalam bahasa yang lebih mudah, apabila semakin kuat suara yang digunakan, kadar frekuensi atau talaan (pitch) yang diterima oleh telinga menjadi semakin kuat juga.

Apabila Bray bercakap menggunakan nilai frekuensi tertentu menerusi telinga kucing berkenaan, maka Wever akan menerima bunyi atau suara menerusi alat penerima pada nilai frekuensi yang sama.

Oleh itu Wever dapat mendengar dan memahami apa yang diperkatakan oleh Bray dari telinga kucing itu, meskipun dia berada pada jarak jauh dalam sebuah bilik yang kedap bunyi.

Wever dan Bray kemudiannya turut menjalankan lebih banyak ujian dengan pelbagai keadaan yang berbeza.


Apabila mereka menyambungkan wayar pada tisu-tisu dan saraf lain, yang jauh daripada saraf auditori, alat penerima itu tidak menghasilkan sebarang bunyi.

Satu lagi eksperimen yang dijalankan oleh mereka ialah dengan menyekat aliran darah daripada mengalir ke kepala kucing tersebut. Tindakan itu juga mengakibatkan alat penerima tidak menghasilkan sebarang bunyi.

Kajian itu meskipun mendapat kecaman dan bantahan daripada aktivis pencinta haiwan, ia telah menerima anugerah Howard Crosby Warren Medal of Society daripada Society of Experimental Psychologist dalam tahun 1936.


Hasil pemahaman tentang frekuensi daripada eksperimen itu juga telah menjadi salah satu pencapaian baru dalam bidang perubatan pada masa itu.

Mereka juga turut memberi sumbangan besar kepada tentera Amerika ketika Perang Dunia Kedua. 

Ketika perang tercetus, Bray ditugaskan sebagai penyelidik psikologi untuk Majlis Kajian Pertahanan Kebangsaan dan Tentera Laut Amerika.


Manakala Wever sebagai seorang penasihat kepada tentera laut dalam bahagian strategi perang anti kapal selam. Wever mendapati anggota tentera yang mempunyai kebolehan muzik adalah individu terbaik untuk mengendalikan sonar kerana telinga mereka dicipta dengan kebolehan mendengar bunyi-bunyi yang spesifik.

Selepas berdekad lamanya, malah sampai ke hari ini, hasil eksperimen yang dijalankan oleh kedua-dua saintis itu terus menyumbang kepada kemajuan dunia.

Ujian "Kucing Telefon" yang mereka lakukan telah menjadi asas pengetahuan kepada penghasilan implan kali pertama untuk individu pekak akibat masaalah koklea.


Implan koklea dihasilkan selepas mendapat inspirasi daripada penyambungan wayar telefon kepada saraf auditori untuk menjalankan funsi yang serupa.

Justeru pelbagai implan dicipta bagi menukar getaran bunyi kepada isyarat elektrik untuk dihantar terus ke otak bagi membolehkan individu pekak dapat mendengar bunyi. — EdisiRakyat.com, 17 Januari 2021


Post a Comment

Previous Post Next Post