MUNGKIN tak ramai orang tahu tentang asal-usul Australia yang terletak di benua besar Lautan Hindi. Negara itu pada asalnya dibangunkan untuk menjadi tempat banduan menjalani hukuman.
Tarikh 18 Januari 1788, merupakan kali pertama kapal-kapal British yang membawa para banduan, mendarat di Teluk Botany, Australia. Konvoi itu dinobatkan sebagai "Armada Pertama" berlepas dari Portsmouth, England kira-kira setahun sebelum itu.
Konvoi disertai oleh 11 buah kapal itu, terdiri daripada dua kapal tentera laut diraja British, enam kapal membawa banduan, serta tiga lagi kapal kargo yang memuatkan pelbagai bekalan keperluan.
Dianggarkan seramai 1,500 individu dibawa bersama rombongan berkenaan telah mendarat di pantai Australia. Tujuan kehadiran mereka ialah untuk memulakan pembinaan sebuah tanah buangan baru, bagi menempatkan banduan-banduan dari Empayar British di masa hadapan selepas dijatuhkan hukuman buang negeri.
Tanah buangan inilah akhirnya nanti, bakal menjadi sebuah negara dalam senarai Commonwealth, yang diberi nama Australia.
Australia kali pertama ditemui oleh seorang pelayar bernama James Cook dalam tahun 1770. Daratan itu dianggap terpencil tanpa penghuni, dan terletak jauh di hujung dunia. James Cook menjadi orang Eropah pertama yang mendokumenkan kawasan pantai timur benua berkenaan.
Sebelum Australia dibangunkan sebagai tanah buangan, semua pesalah yang dijatuhkan hukuman sebelum itu dihantar ke 13 daerah buangan terletak di Utara Amerika.
Georgia merupakan salah satu daripada kawasan buangan berkenaan, di mana ribuan banduan telah dihantar untuk tinggal di situ, menjalani hukuman sepanjang hayat mereka.
Namun selepas peristiwa Revolusi Amerika yang menyaksikan negara itu mendapat kemerdekaan, kerajaan baru Amerika tidak mahu lagi menerima banduan-banduan British.
Ketika revolusi Amerika berakhir secara rasmi pada tahun 1783, British mengalami masalah ketiadaan tanah buangan untuk menempatkan populasi banduan-banduannya yang begitu ramai.
Maka dalam tahun 1785, timbul cadangan untuk meneroka tanah baru yang pernah ditemui oleh James Cook.
British memutuskan untuk membangunkan daratan itu yang terletak jauh merentasi Lautan Hindi sebagai ganti tanah buangannya di Selatan Amerika Syarikat sebelum ini.
Dalam tahun 1787, armada pertama British telah berlepas dari England, bersama 11 buah kapal mengharungi pelayaran selama 252 hari sebelum berlabuh di Australia.
Selepas armada pertama membawa banduan itu tiba di Australia, tersebar berita di kalangan kapal-kapal pedagang bahawa benua itu sangat sesuai didiami dan mempunyai banyak tanah-tanah kosong serta peluang baru untuk diterokai. Berita itu sekaligus menarik minat orang ramai untuk berhijrah ke sana.
Tanpa Amerika sebagai penempatan para banduan, British mula mengalih pandangan kepada Australia.
Pada peringkat awal selama beberapa dekad selepas itu, kebanyakan individu yang tiba di Australia hanya merupakan banduan dan para petugas kerajaan dihantar untuk menguruskan kawasan itu termasuk berdagang, dan membangunkannya. Tidak lama selepas ini, semakin ramai warga British berhijrah ke Australia.
Pendatang baru ini kemudian mendesak agar kawasan buangan banduan itu ditutup kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
Justeru, pusat tahanan terbabit telah dipindahkan di pelbagai lokasi dalam benua berkenaan sebelum akhirnya dipindahkan keseluruhannya di bahagian barat Australia.
Lokasi itu dipilih kerana kedudukannya jauh dari bandar-bandar di bahagian timur Australia yang pesat membangun, dibanjiri oleh para pendatang baru.
Armada terakhir membawa banduan berlabuh di pantai Australia pada tahun 1868. Lebih 160,000 banduan telah dihantar ke benua itu di antara tahun 1788 dan 1868. — EdisiRakyat.com, 28 Januari 2021
Rujukan — wikipedia.org | history.com | thecommonwealth.org
Post a Comment