Kebetulan pelik! Dua banduan ini wajah serupa, nama pun sama

HIDUP ini penuh dengan perkara yang mengejutkan tetapi pernahkah anda terbayang mempunyai wajah dan nama yang mirip seperti orang lain? Ini benar-benar seperti tidak masuk akal tetapi realitinya itulah yang pernah berlaku kepada seorang lelaki di Amerika Syarikat. 

$ads={1}

Perkara ini benar-benar menimbulkan kekeliruan kepada kerani yang mendaftar masuk banduan ini di dalam penjara. Kejadian ini berlaku pada tahun 1903 kepada lelaki bernama Will West. Ketika Will West dihantar ke penjara, soalan pertama yang ditanya kepadanya oleh kerani pendaftaran adalah "Apa lagi kali ini? Apa yang kau dah buat?"

Will West
 


Will berasa pelik dan menyatakan bahawa itu merupakan pertama kali dia dihukum penjara. Polis yang membawanya diberitahu bahawa dia sudah berada di dalam penjara dan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam kes bunuh tahap 1. 



Kerani itu pening memikirkan bagaimana seorang lelaki yang sudah berada dalam penjara boleh berada di luar penjara. Oleh kerana sukar mempercayainya, dia membuat semakan semula untuk kepastian dan mendapati bahawa wajah Will West sangat sama dengan seorang lagi banduan yang sudah lama berada di penjara itu. 

Pada ketika itu, pengesahan identiti dilakukan dengan sistem semakan Bertilion, dan wajah Will West saling tak tumpah seperti wajah seorang banduan bernama William West dalam pengkalan data.

William West
 

Mempunyai wajah yang sama, bentuk muka yang sama, bentuk tulang yang sama, panjang hidung yang sama, bentuk mulut yang sama dan kedudukan mata yang sama pasti merupakan sesuatu kebetulan yang menakjubkan berlaku di depan mata.

 

Malangnya, teknik Bertilion mempunyai beberapa kelemahan pada waktu itu dan ia diakui oleh kerani penjara itu sebelum tidak lama kemudian pihak berkuasa U.S menggunakan teknik pengenalan melalui cap jari. 

Penggunaan cap jari telah bermula pada tahun 1858 di India oleh Sir William James. Ketika itu beliau meminta peniaga tempatan menandatangani kontrak perniagaan dengan menggunakan tapak tangan mereka. 



Ironinya, pada ketika itu beliau tidak mengetahui pengertian sains di sebalik teknik yang dilakukan tetapi beliau beranggapan bahawa ia adalah teknik yang bagus untuk mengenal pasti identiti seseorang.

Ternyata ia adalah satu kaedah yang sangat berkesan untuk mengenalpasti identiti seseorang. Selepas teknik pengenalan cap jari dijalankan ke atas kedua-dua banduan, hasil menunjukkan mereka memiliki cap jari yang berbeza sama sekali.

  Sehingga kini tiada siapa yang mengetahui sama ada kedua banduan ini mempunyai kaitan persaudaraan atau pun tidak. Ternyata ia adalah satu kebetulan yang sangat mengujakan. — EdisiRakyat.com, 17 January 2021

Post a Comment

Previous Post Next Post