Tips asas penjagaan kenderaan yang perlu anda tahu

PADA zaman moden ini hampir semua orang mempunyai kenderaan sendiri. Ada juga yang mempunyai dua atau tiga buah kereta dalam satu masa. Yang mempunyai lebih dari itu mungkin VIP ataupun mereka yang mempunyai syarikat produk kesihatan dan kosmetik sendiri. Tetapi tidak semua yang betul-betul ambil tahu bagaimana caranya untuk menjaga kenderaan supaya dalam keadaan baik sentiasa.

Kali ini Edisi Rakyat ingin berkongsi langkah-langkah asas yang harus diamalkan oleh mereka yang mempunyai kenderaan tidak kira sama ada kenderaan tersebut baru atau sudah lama.


Pertama sekali adalah penjagaan minyak enjin petrol ataupun diesel. Minyak enjin biasanya terdiri dari tiga jenis iaitu mineral, semi sintetik dan juga fully sintetik. Ianya perlu ditukar setiap 5000 km atau tiga bulan bagi minyak enjin mineral, 7000 km bagi minyak enjin semi sintetik dan 10,000 km untuk minyak enjin fully sintetik. Ianya adalah untuk mengelakkan sebarang kerosakan atau kegagalan komponen enjin. Jangan lupa untuk menukar oil filter setiap kali penukaran minyak enjin dilakukan. 


Kedua adalah kerap memeriksa cecair penyejuk radiator (radiator coolant) dan air tangki radiator agar berada pada tahap yang baik dan mencukupi. Cecair penyejuk radiator seeloknya ditukar setiap 60,000 km untuk mengelak sebarang masalah kepada radiator. Kepada mereka yang menggunakan air untuk radiator disarankan untuk menggunakan air yang telah disuling ataupun yang telah ditapis untuk mengelakkan berlakunya karat pada dalaman radiator.


Jangan lupa untuk menukar timing belt sekitar 60,000 km hingga 90,000 km mengikut saranan pusat servis. Ini kerana jika timing belt putus ianya akan menyebabkan beberapa bahagian di dalam enjin bengkok, pecah dan rosak. Ianya akan menyebabkan anda perlu berbelanja besar untuk membaik pulih kenderaan enjin anda atau harus menukar terus enjin anda kepada enjin lain. Ianya sangat mahal!


Bagi pengguna kereta yang menggunakan timing chain pula anda disarankan untuk menukar timing chain anda sebelum 400,000 km. Tetapi anda perlulah sentiasa peka dengan petanda awal timing kena rosak setelah kenderaan anda melangkaui 200,000 km. Jika timing chain anda rosak atau longgar ianya akan menghasilkan bunyi geseran kasar dan bising pada ruangan enjin. Jika ianya tidak ditukar ianya boleh menjadi lebih teruk dan enjin tidak dapat dihidupkan sama sekali. Kalau kena pada kawasan yang gelap dan tiada liputan memang menyusahkan!


Seterusnya, penukaran minyak gearbox dan Automatic Transmission Fluid (ATF) bagi mereka yang menggunakan kenderaan bertransmisi automatik. Ianya harus ditukar sekitar 40,000 km hingga 60,000 km untuk minyak gearbox manual dan juga 20,000 km untuk minyak ATF transmisi automatik mengikut saranan pihak pusat servis. Jika gearbox kenderaan gagal berfungsi ianya memakan kos tinggi untuk dibaiki ataupun ditukar terus!


Setiap kali ingin memulakan perjalanan ke mana-mana, periksa dan pastikan tekanan angin pada tayar dalam keadaan sempurna. Ini kerana jika angin tayar kurang ianya boleh menyebabkan bayar haus di bahagian tepi manakala jika tekanan angin terlalu tinggi ianya akan menyebabkan tayar lebih cepat haus di bahagian tengah. Setiap 20,000 km, semasa proses servis kereta lakukan "tyre rotation". Ianya mengelakkan dari tayar cepat haus hanya di bahagian depan manakala lambat haus di bahagian belakang. Lakukan juga balancing serta alignment tayar supaya keadaan tayar dalam keadaan paling optimum. Pasti pemanduan anda akan lebih tenang!


Tidak dilupakan juga jangan lupa untuk memberi memberi perhatian kepada spark plug, beteri kereta, brek pad, minyak brek dan minyak power stereng. Ini adalah antara komponen-komponen utama bagi enjin berfungsi dengan baik dan juga keselamatan anda sekeluarga terjamin. Jangan ambil remeh komponen-komponen ini walaupun ianya tidaklah mahal untuk ditukar. Kegagalan komponen-komponen ini menjalankan tugas mereka boleh menyebabkan anda tersadai di tepi jalan ataupun lebih buruk lagi gagal mengawal kenderaan anda dengan baik. Semoga itu semua dijauhkan dari kita semua. 


Akhir sekali sentiasalah memberi perhatian kepada meter minyak petrol / diesel anda. Pastikan ianya sentiasa cukup untuk anda sampai ke stesen minyak seterusnya. Jangan sesekali mengambil risiko terutama jika anda memandu kenderaan berenjin diesel. Bila habis minyak di tepi jalan ianya sangat menyusahkan untuk dihidupkan semula walaupun telah diisi dengan minyak kerana enjin diesel perlu melalui beberapa proses sukar sebelum ianya boleh dihidupkan. Jika kenderaan anda berenjin petrol pula anda akan menyusahkan rakan-rakan atau sanak saudara kepada perlu menolong anda membeli minyak dan menghantarnya kepada anda! 😝

Semoga tips-tips ini berguna kepada anda. Sekian.

Post a Comment

Previous Post Next Post