PUTRAJAYA, 15 Dis - Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026 melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa langkah itu bertujuan memastikan penyedia
perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan
media sosial kepada pengguna tempatan beroperasi dalam kerangka undang-undang
serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Menurut kenyataan MCMC hari ini,
pendekatan tersebut selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan
pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025 bagi
memperkukuh akauntabiliti serta pematuhan terhadap perundangan sedia ada di
Malaysia.
“Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini
bertujuan memastikan semua platform yang terlibat memikul tanggungjawab yang
lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi
kanak-kanak dan keluarga daripada risiko dalam talian,” menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan bahawa peruntukan
tersebut akan dikenakan kepada penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria
ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan
YouTube, dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.
Menurut Suruhanjaya itu, penyedia
perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal
berdaftar, manakala pelaksanaan Peruntukan Deeming hanya akan terpakai selepas
tamat tempoh pendaftaran sedia ada.
MCMC turut menegaskan bahawa penyedia
perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global
masing-masing seperti biasa, dan pendekatan itu sejajar dengan amalan
antarabangsa dalam pengawalseliaan platform dalam talian berskala besar.
“Suruhanjaya akan terus bekerjasama
rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang
bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan
keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Post a Comment