Turun harga Ron95 dan bantuan SARA, BBC mohon rakyat kekalm sokong kerajaan

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan pengumuman beberapa langkah baharu yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan rakyat. Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pengumuman berkaitan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter mencerminkan iltizam kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup secara menyeluruh.
“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban rakyat B40 dan M40, malah memberikan ruang perbelanjaan lebih selesa kepada semua lapisan masyarakat. 

“Ia memperlihatkan kepekaan kerajaan terhadap realiti semasa dan menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. 

Beliau menegaskan tindakan pantas kerajaan melaksanakan dasar ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, selain membuktikan kesungguhan untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap tekanan kos sara hidup. Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa setiap rakyat dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara sekali beri melalui MyKad di bawah program SARA. 

Dalam masa sama, harga RON95 akan diselaraskan kepada RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api. Sehubungan itu, BBC percaya inisiatif baharu ini adalah hasil pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi sambil melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post