KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Keupayaan Malaysia menyediakan bekalan air dan tenaga mencukupi menjadi antara tarikan utama pelabur dalam sektor semikonduktor, pusat data dan Kecerdasan Buatan (AI), kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelebihan ini diperkukuh dengan keupayaan negara membekalkan tenaga kerja profesional berkemahiran tinggi yang menjadi keperluan strategik utama pelabur.
“Dua aspek ini (air dan tenaga) sangat strategik.
Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak dapat mengekalkan kredibiliti Malaysia sebagai negara aman dan berdaya saing sekiranya gagal menyelesaikan isu berkaitan air dan tenaga.
“Ia bukan sekadar menyediakan kemudahan (kepada pelabur), tetapi bagaimana kita mengurus harga air dan tenaga pada kadar munasabah tanpa membebankan rakyat,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA2).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia terus berdepan isu pembaziran air, khususnya melibatkan Air Tidak Berhasil (NRW) akibat amalan penggunaan dan kelemahan sistem paip lama.
Menurut beliau, perkara itu sering dibangkitkan Fadillah dalam mesyuarat Kabinet, dan hasil perbincangan ia akan dijadikan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri menegaskan, pengurusan air yang baik bagi memastikan keselesaan dan memenuhi keperluan rakyat kekal sebagai keutamaan kerajaan.
“Bagaimana sebuah negara yang kaya dengan air, mengalami banjir dua atau tiga kali setahun, masih berdepan kekurangan bekalan air?
Ini menunjukkan ada masalah, bukan kerana kehendak Allah, tetapi kerana kurangnya daya cipta manusia.
“Lihat Jordan, misalnya. Hujan lebat hanya dua atau tiga kali setahun, namun mereka mampu menyimpan bekalan air untuk waktu diperlukan.
Sebab itu teknologi kita mesti bukan sekadar canggih, tetapi juga memastikan langkah penjimatan air dilaksanakan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment