KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa Program MADANI Rakyat (PMR) menjadi saluran komunikasi penting antara kerajaan dan rakyat untuk menyampaikan maklumat mengenai usaha meningkatkan kesejahteraan hidup, mengukuhkan ekonomi dan memperkukuh perkhidmatan awam.
Anwar berkata, PMR membuktikan komitmen kerajaan melaksanakan transformasi positif sektor perkhidmatan awam, selain memberi peluang rakyat menilai sendiri keberkesanan dasar kerajaan.
“Antara kejayaan besar kerajaan ialah kenaikan gaji penjawat awam secara signifikan, pelaksanaan wajib gaji minimum di semua agensi kerajaan dan syarikat swasta, serta penetapan gaji minimum RM3,100 bagi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Kerajaan MADANI juga berani menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,700 dan menurunkan harga minyak kepada RM1.99,” katanya ketika merasmikan PMR Negeri Sembilan, hari ini.
PMR peringkat Negeri Sembilan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Anwar turut menyeru agar rakyat memanfaatkan PMR untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai inisiatif kerajaan, sekali gus menangkis naratif negatif yang mendakwa kerajaan tidak melaksanakan sebarang perubahan.
PMR Negeri Sembilan menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan pendigitalan di bawah tema “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti”, diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri serta kerajaan Negeri Sembilan.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment