Kerajaan jamin ambil kira keperluan negeri dalam persiapan RMK13 dan Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan MADANI mengambil kira cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Persekutuan mengadakan siri perbincangan dengan Kerajaan Negeri bagi menilai dan menyesuaikan keutamaan pembangunan di semua peringkat. 

“Bagi mempersiapkan RMK13 dan belanjawan, saya turun ke negeri-negeri untuk mendengar cadangan yang dikemukakan Menteri Besar termasuk dari Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.
“Ada kalanya keutamaan negeri berbeza dengan kerajaan Persekutuan, tetapi saya beri jaminan, satu atau dua keutamaan yang negeri pilih akan kita terima dan saya akan umumkan dalam Belanjawan Oktober ini,” katanya sewaktu sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas lanjut, Anwar memberi contoh cadangan pembinaan pusat kanser di Sarawak yang pada awalnya tiada dalam perancangan kerajaan Persekutuan. 

“Kalau di Sarawak, mereka cadangkan pusat kanser. Mulanya tiada dalam perancangan kita, tetapi negeri setuju mulakan dengan RM1 bilion dan kerajaan Persekutuan akan bayar kemudian. Hal seperti ini kita teruskan berdasarkan keutamaan negeri,” katanya. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan memastikan agihan kemudahan asas yang lebih adil di seluruh negara termasuk pembangunan sekolah, kemudahan asas dan kesalinghubungan digital. 

Anwar turut menyokong peruntukan tambahan bagi pembangunan desa dan wilayah bagi merapatkan jurang ekonomi antara negeri. “Kita teliti juga rancangan Malaysia Vision Valley yang sedang meningkat pesat serta beberapa program pelancongan di sekitar Port Dickson untuk merapatkan jurang ekonomi,” katanya lagi.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post