756 Pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu Sertai Kempen Internet Selamat

INANAM, 16 Okt - Sebanyak 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu hari ini menyertai program Kempen Internet Selamat (KIS) yang berlangsung di Dewan Citra, kolej berkenaan. Program tersebut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, sebagai usaha berterusan kerajaan memperkukuh keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.

KIS, anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan Internet secara beretika, bertanggungjawab dan selamat. Penglibatan hampir 800 pelajar ini mencerminkan komitmen institusi pendidikan dan masyarakat terhadap usaha memupuk budaya celik digital di peringkat awal.

Program ini memberi tumpuan kepada pelbagai isu keselamatan siber yang semakin menjadi perhatian, termasuk penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi secara cuai dan penyebaran maklumat palsu. Melalui pendekatan interaktif, para pelajar didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi yang digunakan dalam penipuan digital, serta kepentingan menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsikan di media sosial.

Selain itu, program turut menekankan kepentingan menjaga privasi dan mempraktikkan sikap berhemah dalam penggunaan media sosial dengan mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan. Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko keselamatan termasuk penyalahgunaan data dan ancaman siber lain.

KIS terus diperluas ke pelbagai institusi pendidikan di seluruh negeri Sabah dan seluruh negara. Setakat Oktober 2025, sebanyak 4,734 institusi pendidikan telah menyertai kempen ini di seluruh Malaysia, dengan 434 daripadanya adalah institusi di Sabah. Perkembangan ini menunjukkan penerimaan positif dan kesedaran tinggi terhadap pentingnya keselamatan siber dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, YBhg. Datuk Zurkarnain bin Mohd Yasin; serta Pengetua Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu, Encik Suhaibul Kassim. Program berkenaan sekali lagi mengukuhkan peranan MCMC dalam membangunkan masyarakat digital yang berpengetahuan, beretika dan sejahtera di ruang siber.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post