KUALA LUMPUR, 19 Okt - Negara-negara ASEAN bakal memperkukuh usaha bersama dalam menangani cabaran keselamatan dalam talian melalui penyelarasan dasar dan tindakan serantau sejurus selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu akan dimuktamadkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Media Sosial yang Bertanggungjawab, yang dijangka menjadi antara dokumen utama yang diterima pakai oleh ketua-ketua negara ASEAN pada sidang kemuncak tersebut.
Menurut beliau, deklarasi berkenaan adalah hasil perbincangan dalam kalangan menteri-menteri penerangan ASEAN pada Mesyuarat Ministers Responsible for Information yang diadakan di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada Mei lalu.
“Hampir semua menteri komunikasi di rantau ini bersetuju bahawa kita memerlukan strategi dan tindakan bersama bagi mendepani cabaran media sosial, termasuk isu penipuan dalam talian, perjudian haram dan masalah keselamatan lain,” katanya selepas menghadiri ASEAN Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
Fahmi menegaskan bahawa walaupun ASEAN terdiri daripada negara dengan saiz dan kepentingan yang berbeza – termasuk negara yang menjadi pusat operasi syarikat gergasi media sosial seperti Meta dan TikTok – semua tetap terdedah kepada risiko keselamatan digital yang sama.
“Dalam isu keselamatan dalam talian, semua negara terkesan. Sebab itu kita perlu bergerak seiring, termasuk mewujudkan perundangan seumpama dan tindakan segera bagi meningkatkan keselamatan pengguna,” ujarnya.
Persiapan Sidang Kemuncak Capai 90 Peratus
Mengulas persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Fahmi memaklumkan bahawa kesiapsiagaan keseluruhan telah mencapai antara 85 hingga 90 peratus dan dijangka mencapai tahap optimum sebelum hari pembukaan rasmi.
Antara persiapan utama termasuk peningkatan kapasiti jalur lebar, pemasangan kemudahan 5G dan penyediaan infrastruktur teknikal bagi memastikan pengamal media menikmati capaian internet yang cepat dan stabil sepanjang sidang berlangsung.
Beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama pengamal media bagi memberikan perkembangan terkini berhubung persiapan terakhir persidangan.
ASEAN Friendship Concert 2025
Disambut Meriah
Dalam perkembangan lain, Fahmi menzahirkan rasa puas hati terhadap kejayaan ASEAN Friendship Concert 2025, yang disifatkan sebagai simbol perpaduan serantau menjelang sidang kemuncak berprestij itu.
Menariknya, konsert tahun ini turut menyaksikan penyertaan negara ke-11, Timor-Leste, yang bakal merasmikan kemasukannya sebagai anggota baharu ASEAN pada 26 Oktober ini.
“Ini peluang terbaik untuk menyaksikan bakat-bakat muda Asia Tenggara berkumpul di satu pentas. Tahniah kepada RTM atas penganjuran yang cemerlang,” kata Fahmi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam menangani isu keselamatan siber dan penggunaan media sosial yang semakin kompleks di era digital.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment