MERLIMAU, 20 Okt - Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sebuah inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025. Pengiktirafan itu disampaikan dalam majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim.
Di reruai NADI, pelbagai aktiviti berasaskan teknologi menarik perhatian pengunjung, termasuk pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies, serta pemeriksaan kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kesemua aktiviti ini direka bagi memperkenalkan teknologi terkini secara mudah dan interaktif kepada komuniti setempat, termasuk golongan luar bandar dan belia.
Penglibatan belia juga amat memberangsangkan, khususnya melalui Kempen Internet Selamat (KIS) serta pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football. Perkhidmatan Pintar NADI turut menjadi tumpuan utama dengan lima fokus penting — Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan — sebagai langkah membantu masyarakat mempertingkatkan literasi digital, kemahiran ekonomi dan akses kepada maklumat autentik.
Sepanjang siri PMR tahun ini, inisiatif NADI mencatat sambutan luar biasa apabila lebih 10,000 ahli baharu didaftarkan, manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pameran yang disediakan di reruai NADI. Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan serta sokongan masyarakat terhadap usaha NADI dalam memperkasa komuniti digital di seluruh negara.
Anugerah Perkhidmatan Terbaik PMR Melaka 2025 disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Encik Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Encik Mohd Arif Adenan.
Lebih membanggakan, kejayaan NADI turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila inisiatif itu meraih kemenangan dalam kategori Capacity Building di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 yang berlangsung di Geneva pada Julai lalu. Pengiktirafan berprestij ini mengangkat kejayaan pelaksanaan pusat maklumat komuniti NADI di Pulau Banggi, Sabah, yang berjaya memperkasakan penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.
Pada masa ini, terdapat sebanyak 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang. Pelaksanaan inisiatif ini turut menyokong aspirasi 1 DUN 1 NADI yang bertujuan memperluas akses maklumat, meningkatkan literasi digital dan memperkasakan komuniti di setiap kawasan di Malaysia selari dengan agenda pendigitalan negara.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment