Anwar seru APEC kekal beretika dalam kejar kemajuan teknologi

GYEONGJU, 1 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Asia Pasifik tidak boleh mengabaikan prinsip etika dan nilai kemanusiaan ketika mengejar kemajuan teknologi, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Berucap pada Sesi 2 Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025, beliau berkata akses teknologi yang adil, keselamatan siber dan penegakan etika digital perlu menjadi keutamaan dalam merangka dasar masa depan.

“APEC perlu memastikan akses teknologi berlaku tanpa diskriminasi dan tidak melebarkan jurang digital,” katanya sambil menambah bahawa teknologi harus membentuk masyarakat secara positif, bukan mengikat kebebasan manusia.

Anwar turut menekankan komitmen Malaysia memajukan AI, industri semikonduktor dan pelaburan pusat data, namun menyeru agar pembangunan teknologi tidak mengorbankan alam sekitar atau kompas moral.

Katanya, pertumbuhan infrastruktur digital perlu seiring dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan tadbir urus yang bertanggungjawab bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.

“Matlamat kita bukan dunia yang ditadbir mesin, tetapi masa depan di mana AI memperkasa kreativiti manusia dan memperkukuh komuniti,” katanya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post