KUALA LUMPUR, 2 Nov - Kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem penjaja dan peniaga kecil sebagai pemacu utama ekonomi rakyat melalui inisiatif pendigitalan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan
komuniti penjaja dan peniaga kecil sebagai "wira ekonomi rakyat" yang
menyumbang besar kepada pertumbuhan domestik. Tahun lalu, sektor PMKS mencatat
sumbangan RM652.4 bilion kepada KDNK serta menyediakan 8.1 juta pekerjaan.
“Mereka berada di barisan hadapan setiap hari, daripada
pasar pagi hingga penjaja malam, memastikan rakyat mendapat keperluan harian
pada harga berpatutan. Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,”
katanya dalam ucapan penutup Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat
Kebangsaan 2025 (HPPK2025) yang dibacakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan
Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk
Ewon Benedick serta timbalannya, Datuk Seri R. Ramanan.
Anwar berkata kerajaan mensasarkan sumbangan PMKS meningkat
kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030, seiring Dasar Keusahawanan Nasional
2030. Sasaran itu digerakkan melalui Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga
Kecil Negara 2030 sebagai pelan induk memperkukuh sektor berkenaan.
Beliau menegaskan dasar yang komprehensif perlu disusuli
pelaksanaan berkesan di lapangan, dengan KUSKOP memainkan peranan sebagai
peneraju utama.
Antara inisiatif diberi tumpuan ialah Program Jajahan
Rakyat melalui kerjasama KUSKOP dan Bank Rakyat, bagi memperluas pendigitalan
serta mempercepat transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil.
Usaha memperkasa kumpulan itu turut diteruskan melalui
Belanjawan 2026 yang menyediakan suntikan dana, kemudahan pembiayaan dan
bantuan pengembangan ke pasaran antarabangsa.
Menurut Anwar, langkah-langkah ini penting bagi memastikan
peniaga kecil terus berdaya saing, meningkatkan taraf hidup dan kekal sebagai
penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Post a Comment