TIADA SYARAT 80 PERATUS KANDUNGAN TEMPATAN DALAM LESEN PENYIARAN – MCMC

CYBERJAYA, 1 Nov - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan seorang bekas Ketua Pengarang bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.


MCMC menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak selari dengan kerangka pelesenan penyiaran yang sedang berkuat kuasa.

Menurut MCMC, di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada syarat kuota 80 peratus kandungan tempatan dikenakan terhadap mana-mana penyiar swasta di Malaysia.

Lesen yang berkuat kuasa ketika ini memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing, tertakluk kepada garis panduan serta piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC.

MCMC turut menjelaskan bahawa lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana. Penjadualan kandungan sepenuhnya bergantung kepada pertimbangan penyiar berdasarkan permintaan pasaran dan pematuhan kepada peraturan kandungan.

Dalam masa sama, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) bagi memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan serta memperkukuh pembangunan kandungan tempatan yang berkualiti. Dasar tersebut turut bertujuan mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post