Ads Top

Beras perang dan beras putih, proses penghasilan dan perbezaannya

PERNAHKAH anda memakan beras perang? Apa pula perbezaannya dengan beras putih dan bagaimana ia dihasilkan?

Beras perang ialah beras yang sekamnya dibuang daripada beras kasar dan mengandungi lapisan bran (6-7% daripada jumlah berat), embrio (2-3% daripada jumlah berat) dan endosperma (kira-kira 90% daripada jumlah berat).

Pelbagai nutrien dalam beras terdapat dalam germa dan lapisan dedak beras dalam bijirin.

Namun kebanyakan nutrien ini telah dibuang semasa proses pengisaran daripada beras perang kepada beras putih.

beras perang

Khasiat beras perang

Pengambilan beras perang dapat mengekalkan berat badan yang ideal dan boleh menurunkan kolestrol di dalam badan disebabkan oleh kandungan serat yang tinggi dalam beras perang.

Beras perang juga dapat membantu mengawal penyakit kencing manis jenis kedua.

Beras perang mengandungi selenium dan serat diet yang boleh bertindak sebagai antikanser, di samping turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B6, tokoferol, zat besi, magnesium, mangan dan fosfat.

Walaupun beras perang mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan, namun beras ini dianggap tidak sesuai sebagai makanan harian seperti beras putih kerana teksturnya yang keras, baunya yang kurang menyenangkan (tengik) dan sukar untuk dimasak.


Beras putih ialah beras yang paling banyak dimakan oleh orang ramai. Ia merupakan makanan ruji bagi kebanyakan negara terutamanya di Asia, termasuklah Malaysia.

beras putih


Beras putih berasal daripada beras perang yang kemudiannya melalui proses pemutihan dan pengilatan untuk menjadi beras putih.

Proses ini menyebabkan beras putih kehilangan kebanyakan nutrien yang sedia ada di dalamnya.

Namun begitu sejajar dengan peningkatan teknologi makanan pada masa kini, beras putih yang dijual di pasaran murah diperkaya semula bagi menggantikan nutrien yang telah hilang semasa pemprosesan berlaku.


Proses penghasilan beras perang dan beras putih



anatomi beras


Beras perang terhasil apabila tidak menjalani proses penghilatan atau pemutihan seperti beras putih.

Ketika proses penghasilan beras putih, lapisan dedak (bran) in dibuang sekaligus menjadikan beras tersebut berkilat.

Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk membersihkan selaput perang yang terdapat pada beras agar biji beras akan menjadi lebih lembut apabila dimakan setelah dimasak terlebih dahulu.

proses hasilkan beras



Perbezaan antara beras perang dan beras putih

beras putih vs beras perang


Beras putih dan beras perang mempunyai kandungan kalori, protein dan karbohidrat yang sama tetapi mempunyai kandungan garam mineral yang banyak perbezaan.

Beras perang mempunyai lebih banyak kandungan garam mineral berbanding beras putih kerana kandungan nutrien ini hilang ketika proses pemutihan dan pengilatan yang dilakukan terhadap beras perang untuk menjadikannya beras putih.

Antara nutrien tersebut ialah vitamin, mineral,asid lemak,minyak dan serat.

Antara perbezaan-perbezaannya yang lain ialah:

1. 1 cawan beras perang mempunyai 3.5 gm serat manakala 1cawan beras putih mempunyai kurang daripada 1gm serat.

2. 1 cawan beras perang mempunyai 84 mg magnesium manakala 1 cawan beras putih mempunyai 19 mg magnesium.

3. Nutrien makanan yang terdapat dalam beras perang sangat banyak manakala nutrien makanan yang terdapat dalam beras putih adalah sedikit.

4. Beras perang memberikan rasa seperti kekacang dan kenyal apabila dimasak manakala beras putih memberikan rasa manis, berlemak dan lembut apabila dimasak.

5. Beras perang berwarna perang atau coklat manakala beras putih pula berwarna putih.

6. Beras perang mengambil masa yang lebih lama untuk dimasak manakala beras putih mengambil masa yang singkat untuk dimasak.

7. Tekstur beras perang adalah lebih kasar berbanding tekstur beras putih yang lebih halus.— EdisiRakyat.com, 4 November 2017

No comments:

Powered by Blogger.