Tiada desakan pecat MB Selangor dalam mesyuarat biro politik PKR — Saifuddin Nasution

SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan terdapat desakan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada malam Rabu lepas supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat.

Saifuddin turut dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau mencatatkan minit mesyuarat MPP yang dipengerusikan oleh Mohamad Azmin pada malam Rabu lepas dan tidak berbangkit perkara mendesak Khalid meletak jawatan.

"Saya duduk sebelah YB Azmin dalam mesyuarat MPP malam Rabu lepas, saya juga catitkan minit mesyuarat dan saya langsung tak keluar mesyuarat.

"Perkara yang disebutkan adanya desakan daripada YB Azmin dan penyokongnya supaya Tan Sri Khalid dipecat tidak berlaku pada mesyuarat MPP malam Rabu lepas," katanya lapor Astro AWANI memetik kenyataan beliau. 

Saifuddin berkata menjadi perkara biasa mesyuarat MPP PKR membincangkan isu Selangor kerana negeri tersebut merupakan satu-satunya menteri besarnya daripada parti itu.

Beliau juga mengakui, pada mesyuarat MPP malam Rabu lepas, terdapat empat perkara berkaitan Selangor dibincangkan.

"Kita (MPP PKR) bincang empat perkara iaitu, isu yang dikatakan Selangor akan menyerahkan Langat 2 kepada kerajaan pusat, ura-ura kerajaan Selangor mahu menaikkan lesen perniagaan, isu pengguran YB Azmin daripada PKNS juga dibincangkan dan perkara mengenai cadangan kenaikan elaun dan gaji speaker, timbalan speaker dan ADUN di Selangor.

"Menjadi lumrah bila kita bincang mengenai Selangor tentulah ada pro dan kontra tetapi kalau ada yang kata malam rabu lepas YB Azmin desak Tan Sri Khalid dipecat itu tidak betul," tegasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan turut menafikan laporan yang mengatakan Mohamad Azmin mendesak supaya Abdul Khalid dipecat daripada jawatan menteri besar Sealngor.

"Perkara itu tidak berbangkit langsung dalam mesyuarat MPP malam Rabu lepas, saya hadir mesyuarat dan tidak timbul desakan Tan Sri Khalid dipecat," katanya dilaporkan oleh Astro AWANI.

Portal The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan terdapat desakan daripada Azmin dan penyokongnya agar Abdul Khalid disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar.

Kontroversi melibatkan timbalan presiden PKR dan menteri besar Selangor itu timbul lagi selepas Azmin dilaporkan telah digugurkan daripada jawatan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Bagaimanapun, Khalid pada Rabu menjelaskan bahawa beliau ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau Exco) tidak pernah membuat keputusan untuk membuang Azmin, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat oleh Pengurus Besar PKNS.

Penjelasan Khalid itu dinafikan PKNS pada Khamis dan menjelaskan perbadanan itu bertindak berdasarkan keputusan yang dibuat oleh MMKN.

Sementara Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menganggap penyingkiran Azmin daripada PKNS tidak sah kerana ia dibuat tidak mengikut prosedur — EdisiRakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post