Setiap iklan di stesen keretapi bawah tanah London diganti dengan gambar kucing

SEMUA atau sebanyak 68 paparan iklan-iklan salah sebuah stesen keretapi bawah tanah di London, dilaporkan telah ditukar dengan gambar-gambar kucing yang menarik.

Ia bukanlah 'stunt' dibuat oleh syarikat makanan haiwan kesayangan, ataupun strategi gerilla rancangan televisyen baru, sebaliknya ia diusahakan oleh sekumpulan sukarelawan pencinta kucing yang sebelum ini memohon sumbangan orang ramai melalui laman sesawang Kickstarter.

Gerakan yang digelar sebagai Citizens Advertizing Takeover Service (CATS) telah mula mengumpul dana dan kreativiti orang ramai sebelum ini untuk menggantikan paparan iklan-iklan di stesen-stesen keretapi dengan gambar-gambar kucing yang menarik dan menyenangkan.



Kini usaha mereka sudah membuahkan hasil selepas lebih 20,000 pounds (RM109,193.35) berjaya dikumpulkan bagi menjayakan usaha tersebut.

Tujuan mereka dikatakan selain mengurangkan tekanan kepada orang ramai yang lalu-lalang supaya melihat gambar-gambar kucing yang menyenangkan, mereka mahu orang ramai berehat daripada diminta untuk membeli sesuatu setiap masa daripada iklan-iklan yang digantikan.





"Bukankah ia hebat jika tidak perlu memikirkan percutian yang kita tak mampu pergi, kereta yang kita tak perlukan, ataupun wajah serta badan yang tidak kita miliki? Bayangkan sebuah dunia, di mana ruang-ruang awam membuatkan anda rasa selesa" kata gerakan itu dalam satu kenyataan.

Menurut pengasasnya, James Turner mereka mahu mengunakan kuasa kreativiti untuk kebaikan. 

"Pada bulan Febuari lalu, kami bertanya pada diri sendiri bayangkan sebuah dunia di mana rakan-rakan dan pengalaman lebih penting dari benda yang kita boleh beli," tulisnya.

"Dari situ, pasukan kami mula memikirkan untuk mengutip derma orang ramai untuk menggantikan iklan-iklan dengan sesuatu yang lain," tulisnya lagi. — Edisirakyat.com, 13 September 2016

Previous Post Next Post