Lelaki maut jatuh jambatan selepas lamar teman wanita

KEGEMBIRAAN sepasang kekasih warga Jepun bertukar tragedi selepas lelaki berusia 32 tahun jatuh dari sebuah jambatan awal hari Isnin sebaik sahaja selepas melamar teman wanitanya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di tengah-tengah jambatan Irabu sepanjang 3.5 km yang menghubungkan antara Miyako dan pulau-pulau Irabu di Wilayah Okinawa tengah malam semalam.

Lelaki berkenaan dikatakan berada di dalam sebuah kereta yang dipandu oleh teman wanitanya, yang diberhentikan di tepi jalan. Dilaporkan selepas mendengar perkataan "ya", dia terlalu gembira dan dikatakan melompat di atas selusur 1.2m sebelum hilang kawalan dan terjatuh 30m ke dalam laut.



Pihak polis tempatan mengesahkan bahawa sebelum kejadian itu, lelaki berkenaan dalam keadaan mabuk.

Pihak berkuasa telah melancarkan satu misi mencari dan menyelamat selepas menerima satu panggilan kecemasan daripada teman wanitanya, dan berjaya menemukan mayat lelaki tersebut di dalam laut kira-kira 7 jam kemudian.

Mayatnya telah dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Ini merupakan kemalangan maut pertama di jambatan terkenal itu, yang mula dibuka dalam tahun 2015 dan merupakan sebuah jambatan bebas tol terpanjang di Jepun.

Dalam sebuah lagi kejadian serupa dalam tahun 2014, seorang wanita berumur 29 tahun warga Bulgaria, maut selepas jatuh dari sebuah jurang di kepulauan Ibiza Sepanyol, selepas menerima lamaran teman lelakinya.

Wanita berkenaan dikatakan hilang kawalan ketika melompat kerana terlalu teruja. — EdisiRakyat.com, 6 September 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post