Isu Tarif Boleh Ditangani Melalui Rundingan Berterusan - PM Anwar

JOHANNESBURG, 22 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS) boleh diselesaikan melalui perbincangan dan rundingan berterusan, berdasarkan pengalaman Malaysia dalam menguruskan hubungan perdagangan dengan negara berkenaan.

Beliau berkata pendekatan dialog berterusan merupakan antara strategi utama Malaysia dalam mempelbagaikan ekonomi serta mengukuhkan hubungan perdagangan dengan rakan utama termasuk AS dan China.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, Anwar berkata Malaysia turut menjemput Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sebagai tetamu pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung Oktober lalu.

“Termasuk rakan baik anda, Presiden Donald Trump, dan perbincangan tersebut telah menghasilkan keputusan,” katanya berseloroh ketika berucap pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan di sini, sekali gus mencuri perhatian hadirin memandangkan Afrika Selatan antara negara yang dikenakan tarif tinggi oleh Washington.

Amerika Syarikat sebelum ini mengenakan tarif unilateral sebanyak 30 peratus ke atas kebanyakan barangan Afrika Selatan yang berkuat kuasa pada 7 Ogos 2025.

Anwar yang berada di Johannesburg sebagai tetamu Sidang Kemuncak Pemimpin G20 berkata Malaysia berjaya mencapai pengurangan tarif timbal balas kepada 19 peratus berbanding 24 peratus sebelum ini hasil pendekatan rundingan yang diambil.

Dalam pertemuan dua hala bersama Ramaphosa, Anwar berkata beliau berkongsi pandangan bahawa isu tarif boleh diselesaikan sekiranya perbincangan diteruskan secara konsisten.

“Saya menjelaskan kepada Presiden Ramaphosa supaya terus berbincang dan tidak terlalu bimbang. Isu seperti ini memerlukan pendekatan diplomasi dan kesediaan untuk berunding,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa perdagangan merupakan kepentingan bersama, bukan sahaja kepada Malaysia dan Afrika Selatan, tetapi juga kepada AS.

“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan. Apa yang penting ialah kekal fokus, jelas dari segi dasar ekonomi dan memastikan pelaksanaannya dilakukan secara berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramaphosa memaklumkan bahawa AS, yang akan menjadi pengerusi G20 seterusnya, telah mengesahkan penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 tahun ini, meskipun sebelum ini menyatakan pendirian untuk tidak menghadirinya.

“Kami telah menerima notis daripada AS mengenai penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 dan perbincangan sedang dijalankan,” katanya menerusi platform media sosial semalam.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengesahan sama ada Presiden Trump sendiri akan menghadiri sidang kemuncak tersebut atau diwakili oleh wakil lain.

G20 dianggotai Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

Sidang Kemuncak G20 tahun ini mencatat sejarah sebagai yang pertama dianjurkan di benua Afrika.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post