Projek lencongan banjir RM260 juta jadi punca banjir besar di Perlis

PROJEK Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh bernilai RM260 juta yang sepatutnya menyelesaikan isu banjir di kawasan Tebing Tinggi, sebaliknya dilapor menjadi punca banjir besar yang memaksa lebih 1000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Projek berkenaan yang dijadualkan siap pada pertengahan tahun ini, mengalami penangguhan dan tarikh baru untuk ia disiapkan telah ditunda ke bulan November.

Para penduduk dilaporkan menjadi berang apabila bahagian akhir terowong sepanjang 22 kilometer, yang menghubungkan satu saliran air dari Tebing Tinggi ke Bukit Wai menjadi punca utama banjir buruk yang berlaku sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Terowong berkenaan sepatutnya menyalurkan aliran air dari Empangan Timah Tasoh terus ke Selat Melaka melalui bukaan Sungai Kuala Perlis. Hujan berterusan Sejak dua hari lalu menyebabkan sebahagian kawasan yang tidak pernah banjir sebelum ini ditenggelami air sedalam 1.5 meter.



Setakat tengahari hari ini, 1,008 orang daripada 277 keluarga, kebanyakan mereka yang tinggal di Tebing Tinggi terpaksa mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan banjir.

Ahli Parlimen Kangar dipetik oleh NST sebagai berkata, penangguhan projek berkenaan telah menyebabkan kawasan tersebut terdedah kepada bencana banjir setiap kali berlaku hujan lebat. Katanya perkara ini tidak pernah berlaku sebelum projek berkenaan bermula.

"Saya minta kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) dan kontraktor supaya prihatin untuk mempercepatkan projek tersebut. Jika kontraktor tak mampu siapkan projek itu, lebih baik tamatkan sahaja kontraknya," kata beliau.

Dalam masa yang sama penduduk-penduduk Tebing Tinggi, yang kini sedang berlindung di pusat pemindahan banjir SK Bintong merayu pihak berkuasa berkaitan untuk menyiapkan projek tersebut secepat mungkin.

Mahidah Ismail, 40 mendakwa rumahnya tidak pernah dinaiki banjir sebelum ini meskipun ketika hujan lebat secara berterusan seperti yang berlaku dua hari lalu.

"Sejak projek itu bermula rumah saya telah dilanda banjir kilat. Biasanya air naik sehingga ke paras buku lali, tapi sekarang sudah mencapai paras pinggang," katanya.

Jiran beliau, Norhidah Mohmad, 56, mendakwa dia sudah tidak tahan terpaksa meninggalkan rumah setiap kali hujan lebat dan terpaksa membersihkan rumah beberapa kali.

Kejadian banjir itu juga memaksa jalan utama yang menghubungkan antara Wang Ulu ke Kuala Perlis terpaksa ditutup sementara stesen minyak di Arau juga digantung operasinya.

Difahamkan projek berkenaan yang sudah 80 peratus siap, mengalami penangguhan berikutan masalah teknikal di Bukit Wai apabila kontraktor dikatakan mengalami masalah untuk membina terowong. — EdisiRakyat.com, 22 September 2017

2 Comments

  1. Kalau dah ada masaalah tak bolih nak disiapkan, tak apalah. Masukkan air dan jadikan tempat simpanan kapal selam scorpane je lah. Selamat....

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post