Anwar dedah Kerajaan Madani berjaya pulih RM5 bilion hasil rasuah dalam tempoh dua tahun

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kejayaan memulihkan kira-kira RM5 bilion hasil rasuah dalam tempoh satu hingga dua tahun lalu membuktikan kecekapan dan ketegasan Kerajaan Madani dalam membanteras gejala itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini menunjukkan komitmen tegas kerajaan terhadap usaha anti rasuah, meski berdepan sikap sinis dan kritikan daripada segelintir pihak.
“Ramai yang membuat sindiran tentang tadbir urus dan kesungguhan kita memerangi rasuah. Tetapi biar saya kongsi, dalam tempoh satu hingga dua tahun sahaja, merentas semua agensi, daripada ahli politik ke kementerian, imigresen hingga kastam, berapa banyak kita berjaya rampas? Antara RM4 bilion hingga RM5 bilion hasil rasuah,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan Ipoh Sentral, hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pengerusi MRCB Land Tan Sri Mohd Annuar Zaini. Anwar menegaskan prinsip tadbir urus baik mesti diterapkan dalam setiap projek pembangunan bagi memastikan kecekapan dan integriti.

“Ini merangkumi semua aspek – latihan, teknologi canggih dan kemampuan kita menguasai kecerdasan buatan (AI). Saya harap projek Ipoh Sentral boleh menjadi contoh model pembangunan yang terbaik,” katanya. 

Beliau turut menggesa semua pihak termasuk Menteri Besar, Majlis Bandaraya Ipoh dan kementerian berkaitan meneliti semula mekanisme tadbir urus projek itu. 

“Walaupun pelan sudah ada, lihat semula jika ia boleh diperkukuh. Jika berjaya, Ipoh Sentral boleh menjadi antara model pembangunan menyeluruh terbaik negara,” tegasnya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post