Kerajaan pertimbang bantuan tambahan RM100 sekali beri untuk mahasiswa – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kerajaan bersedia mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan sebanyak RM100 secara sekali beri (one-off) kepada mahasiswa. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah bagi membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan itu akan dinilai secara menyeluruh dalam penyediaan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober.

“Saya terima baik cadangan presiden (wakil pelajar) dan saya akan beri pertimbangan yang wajar dalam belanjawan bulan Oktober ini,” katanya ketika sesi Temu Anuar bersama pelajar Multimedia University (MMU), Cyberjaya. 

Menurut Anwar, kerajaan sebelum ini telah meluluskan bantuan RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas, termasuk mahasiswa, dan usaha ini boleh diperkukuh lagi.
Menyentuh isu kos sara hidup, beliau menegaskan harga barang asas seperti minyak masak, ayam, telur dan gula di Malaysia masih kekal antara yang terendah di rantau ini. 

“Kalau ditanya masalah yang paling saya bimbang sebagai perdana menteri, saya masih runsing tentang isu kemiskinan tegar dan beban rakyat. 

Itu perkara yang mesti kita tangani sebaik mungkin. "Tetapi percayalah, bila kita naik gaji baru-baru ini, gaji menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen tidak kita naikkan,” jelasnya. 

Anwar turut menegaskan keperluan memastikan setiap sistem perolehan kerajaan dilaksanakan dengan telus supaya penjimatan dapat ditingkatkan.

 Beliau berkata usaha membanteras ketirisan dana negara sudah membuahkan hasil, apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas dana haram bernilai sehingga RM5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Bayangkan, RM5 bilion itu kalau diseleweng pihak tertentu melalui judi atau saluran haram, rakyat yang rugi. Tetapi hasil yang kita selamatkan ini kita pulangkan kepada rakyat, bukan untuk saya atau menteri,” tegasnya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post