KURSUS PENGUATKUASAAN JENAYAH SIBER PERKUKUH KAPASITI PENGUAT KUASA UNDANG-UNDANG NEGARA

CYBERJAYA, 25 Okt - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur hari ini melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber bersempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, sebagai manifestasi komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Menurut statistik serantau, purata kos ketirisan data pada tahun 2024 melebihi USD3 juta (kira-kira RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah USD688.4 bilion (sekitar RM2.91 trilion). Angka itu turut menunjukkan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan.


Di Malaysia, usaha membanteras penipuan digital terus dipertingkatkan. Sejak 2022, MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan, serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.

Kursus yang dilancarkan ini merupakan inisiatif strategik MCMC–PDRM bagi mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes, serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang sedia ada.

Program ini juga merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti siasatan dan penguatkuasaan. Kerjasama kedua-dua agensi turut merangkumi beberapa operasi sebelum ini, termasuk Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025).

Kursus yang bakal dilaksanakan mulai tahun hadapan itu memberi tumpuan kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada pelbagai agensi kerajaan, dengan penglibatan pakar keselamatan siber nasional.

Inisiatif ini diharap dapat melahirkan barisan penguat kuasa yang lebih bersepadu, cekap dan responsif dalam menangani ancaman siber negara.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post