KOTA KINABALU, 6 Dis - Kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta berkuat kuasa mulai 2026 sebagai langkah mengurangkan beban kewangan dan kos pematuhan yang ditanggung perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung
maklum balas serta rungutan peniaga kecil yang berdepan cabaran kos pelaksanaan
sistem berkenaan.
“Kerajaan mengambil maklum kebimbangan
ini dan telah membuat kajian dalam tempoh singkat. Hasil penelitian itu
dibentangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Pada peringkat awal, syarikat kecil
dan sederhana merasakan pelaksanaan e-invois menambah beban kos, justeru
syarikat kecil tidak lagi dipaksa melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk
Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam;
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri
III, Datuk Ewon Benedic serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata perkara itu dibentangkan
bagi memastikan pelaksanaan e-invois pada tahun depan lebih realistik, tersusun
dan tidak membebankan perniagaan kecil yang masih dalam proses penyesuaian ke
arah pendigitalan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut
menyentuh isu kelewatan bayaran balik cukai yang disifatkan sebagai punca
ketidakpuasan hati dalam kalangan peniaga yang telah menunaikan kewajipan cukai
mengikut jadual.
Sebagai langkah pembetulan segera,
beliau mengumumkan kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan bayaran balik
cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini bagi
mempercepatkan pembayaran tertunggak, khususnya melibatkan peniaga kecil.
Sementara itu, Anwar menegaskan
komitmen kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tuntutan pemberian hasil 40
peratus kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal
yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood
Merican telah mengadakan mesyuarat awal bersama Setiausaha Kerajaan Negeri
Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi merangka parameter pelaksanaan.
Menurutnya, mesyuarat penuh dijangka
diadakan sebelum pertengahan Januari depan selepas beberapa kekosongan jawatan
dalam Kabinet diselesaikan.
“Kita perlu menetapkan parameter
dengan jelas, termasuk jumlah, fasa pembayaran dalam setahun dan aspek
perundangan. Semua ini akan diperhalusi di peringkat jawatankuasa teknikal dan
jawatankuasa Persekutuan–negeri sebelum dibawa ke Jemaah Menteri Sabah dan
Jemaah Menteri Persekutuan,” katanya.
Anwar berkata penetapan parameter yang
jelas penting bagi memastikan pelaksanaan pembayaran dibuat secara tersusun,
telus dan kukuh dari sudut perundangan, termasuk keperluan pindaan
undang-undang seperti yang dilaksanakan sebelum ini dalam penyerahan kuasa
elektrik kepada Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa
rundingan berkaitan pemberian hasil 40 peratus tidak seharusnya dilihat sebagai
retorik politik, sebaliknya dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berasaskan
prinsip keadilan serta hak negeri, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Post a Comment