KUALA LUMPUR, 28 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan diplomasi seimbang Malaysia membolehkan negara menjemput dan menghimpunkan hampir semua kuasa besar dunia di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, meskipun suasana geopolitik global masih tegang.
Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN 2025, berkata meskipun wujud kritikan bahawa Malaysia terlalu condong kepada China atau terlalu menyambut Amerika Syarikat, kejayaan membawa kedua-dua kuasa itu ke meja libat urus membuktikan keupayaan Malaysia mengurus hubungan antarabangsa secara matang.
“Kita baik dengan China,
kita baik dengan Amerika Syarikat. Kita juga berhubungan dengan Brazil, Afrika
Selatan dan Kesatuan Eropah kerana perdagangan, pelaburan dan manfaatnya kepada
rakyat,” katanya pada sidang media penutup di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sepanjang sidang kemuncak,
Malaysia memimpin beberapa mesyuarat utama termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–AS
yang turut dihadiri Presiden Donald Trump, serta Sidang Kemuncak ASEAN–China
yang menegaskan komitmen terhadap perdagangan bebas dan pembangunan infrastruktur.
Malaysia turut mengetuai
mesyuarat bersama Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan Rusia, selain
Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN–PBB dan mesyuarat pemimpin AZEC yang
menumpukan kerjasama tenaga hijau.
Sidang kemuncak kali ini
menandakan berakhirnya kepengerusian Malaysia, dengan Filipina mengambil alih
peranan tersebut bagi tahun berikutnya.
Walaupun pelbagai pencapaian
direkodkan, beberapa isu sukar seperti krisis Myanmar, ketegangan sempadan
Thailand–Kemboja dan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat kekal
menjadi cabaran yang memerlukan perhatian berterusan.

Post a Comment