KUALA LUMPUR, 10 Dis - Isu gangguan teknikal berkaitan pelaksanaan platform baharu Next Generation Emergency Services 999 (NG999) telah berjaya ditangani sepenuhnya susulan perbincangan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia Bhd (TM), persidangan Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
berkata pertemuan yang diadakan bersama Menteri Kesihatan di ibu pejabat TM
baru-baru ini telah menyelesaikan beberapa perkara penting berkaitan
pelaksanaan sistem berkenaan.
“Beberapa isu telah diuruskan dan
sehingga kini tiada lagi sebarang masalah melibatkan sistem tersebut.
Kebanyakan isu yang timbul sebelum ini melibatkan aspek penugasan personel yang
telah disusun semula oleh TM dan Kementerian Kesihatan.
“Alhamdulillah, perkara itu juga telah
ditangani dengan baik dan hari ini tiada lagi isu berbangkit,” katanya ketika
menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Negara.
Mengulas celahan Senator Dr A.
Ligeshwaran berhubung kemungkinan tindakan terhadap TM susulan masalah yang
berlaku pada lima hari pertama pelaksanaan NG999, Fahmi berkata perkara itu
tertakluk kepada penelitian jawatankuasa bersama yang ditubuhkan bagi menilai
sebarang bentuk pelanggaran kontrak.
“Sekiranya terdapat penalti yang boleh
dikenakan, perkara itu akan ditentukan oleh pasukan yang menjalankan
penelitian. Jika hasil semakan mendapati berlaku pelanggaran, tindakan akan
diambil berpandukan perjanjian kontrak yang telah dimeterai,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa
pelaksanaan NG999 berada di bawah tanggungjawab TM sebagai penyedia
infrastruktur telekomunikasi yang menerima panggilan kecemasan peringkat awal
sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk KKM, Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut Fahmi, sistem NG999
dibangunkan bagi menggantikan Malaysian Emergency Response Services (MERS999)
dengan peruntukan keseluruhan RM1.25 bilion, merangkumi pembangunan serta
pengoperasian selama tempoh 12 tahun.
Beliau berkata proses pelaksanaan
sistem tersebut mematuhi semua prosedur dan perjanjian yang ditetapkan,
termasuk pelaksanaan User Acceptance Test (UAT) yang telah disahkan oleh
Kementerian Kesihatan.
“Dari segi proses dan prosedur,
semuanya telah dilaksanakan mengikut ketetapan. Kementerian Kesihatan juga
telah bersetuju menandatangani UAT. Ini merupakan antara dapatan awal hasil
penelitian bersama Kementerian Komunikasi dan KKM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata
kerajaan sedang mengkaji cadangan pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi
pengguna media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866],
yang akan diperincikan melalui instrumen subsidiari dan Kod Perlindungan
Kanak-Kanak.
Beliau memaklumkan bahawa antara
Januari 2022 hingga 30 Nov lalu, sebanyak 1,569 permohonan penurunan kandungan
jelik melibatkan kanak-kanak telah dikemukakan kepada platform media sosial,
dengan 95 peratus daripadanya berjaya diturunkan.
Dalam tempoh sama, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 52,315 permohonan penurunan
kandungan buli siber, dengan kadar pematuhan penurunan sebanyak 76 peratus.
Bagi isu perjudian dalam talian pula,
Fahmi berkata sebanyak 458,697 permohonan penurunan kandungan berunsur judi
telah dikemukakan, dengan 96 peratus daripadanya berjaya diturunkan, selain
6,247 laman web perjudian dalam talian disekat.
Menjawab cadangan beberapa senator
supaya kerajaan membangunkan permainan digital tempatan berimpak tinggi, beliau
berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Malaysia
Digital Economy Corporation (MDEC) terus menyokong pembangunan kandungan
kreatif tempatan.
Melalui Dana Kandungan Digital dan
Teknologi Kreatif (DKK), sebanyak 58 projek permainan digital telah disokong,
selain menghasilkan 38 hak cipta tempatan bagi tempoh 2022 hingga 2024,
katanya.
Mengulas isu penyelenggaraan kabel di
kawasan pedalaman, Fahmi menjelaskan bahawa tanggungjawab tersebut terletak
kepada penyedia perkhidmatan atau syarikat yang terlibat dalam pemasangan dan
penyelenggaraan infrastruktur, termasuk kabel gentian optik.
Post a Comment