KUALA LUMPUR, 21 Okt - Malaysia berhasrat memperkukuh kepimpinan ASEAN dalam memacu pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Mesyuarat Pemimpin RCEP ke-5 yang dijadual berlangsung minggu depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa RCEP
bukan sekadar perjanjian perdagangan, tetapi cerminan komitmen strategik rantau
ini terhadap semangat keserantauan terbuka demi kemakmuran bersama.
“Kita mahu manfaat RCEP tidak hanya dinikmati syarikat
multinasional, tetapi turut dirasai oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS),
para pekerja dan komuniti tempatan,” katanya ketika berucap menutup Sidang
Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini, hari ini.
RCEP Perlu Diterjemahkan
kepada Peluang Nyata
Mesyuarat Pemimpin RCEP ke-5 akan diadakan pada 27 Oktober,
bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Menurut Anwar, kejayaan RCEP bergantung kepada kemampuan
setiap negara anggota mengubah komitmen atas kertas menjadi peluang ekonomi
sebenar.
“Ini termasuk menangani halangan bukan tarif, memperkukuh
fasilitasi perdagangan, serta memastikan ekonomi digital, peralihan hijau dan
sektor perkhidmatan disepadukan sepenuhnya dalam kerangka RCEP,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya ASEAN dan
komuniti antarabangsa memberi perhatian lebih besar kepada perjanjian
perdagangan terbesar dunia itu, yang merangkumi hampir satu pertiga KDNK dan
perdagangan global.
ASEAN Dijangka Menjadi
Ekonomi Keempat Terbesar Dunia
Anwar turut menekankan kedudukan penting ASEAN sebagai hab
pembuatan, rantaian bekalan global dan pasaran yang dinamik dengan populasi
seramai 680 juta penduduk.
Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun, ASEAN dijangka
muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia — satu perkembangan hasil
komitmen berterusan rantau ini terhadap perdagangan bebas dan adil serta
kelebihan daya saing yang dimiliki.
“Aspirasi Malaysia jelas — kami mahu memperkukuh peranan
sebagai hab pelaburan yang dipercayai, di samping memastikan perusahaan
tempatan dan syarikat baharu turut mendapat manfaat,” katanya.
Malaysia, ujar Anwar, komited meneruskan prinsip
keterbukaan dan perpaduan serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global,
selaras dengan misi memperkukuh pelaksanaan RCEP untuk manfaat jangka panjang
seluruh ASEAN.

Post a Comment