BAKU, 18 Nov - Malaysia sedang meneliti peluang kerjasama strategik dengan India dan Iran dalam bidang telekomunikasi, khususnya melibatkan aspek keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam beberapa mesyuarat
dua hala bersama rakan sejawatnya dari India, Dr Chandra Sekhar Pemmasani, dan
dari Iran, Sattar Hashemi, yang berlangsung di luar Persidangan Pembangunan
Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).
Menurut Fahmi, pengalaman kedua-dua negara dalam menangani isu
telekomunikasi di peringkat domestik membuka ruang kerjasama yang berpotensi
untuk dimanfaatkan bersama Malaysia.
“Saya melihat terdapat beberapa peluang yang boleh kita usahakan
bersama, khususnya berdasarkan pengalaman mereka menangani isu penipuan dalam
talian, keselamatan siber serta pembangunan aplikasi telekomunikasi yang
memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat dua hala itu turut disertai Penasihat Kanan Hal Ehwal
Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohd
Annuar Zaini, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin serta
Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad
Zahari.
Fahmi berkata, hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan
dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pembangunan sektor telekomunikasi
negara, selari dengan aspirasi untuk memperkukuh infrastruktur digital serta
keselamatan dalam talian.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU)
dalam bidang telekomunikasi antara Malaysia dan Iran kini sedang dirangka dan
dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“MoU tersebut kini dalam proses penelitian di peringkat
kementerian dan saya percaya dalam tempoh yang tidak terlalu lama, kita akan
bersedia untuk memeterai perjanjian berkenaan,” katanya.
Menurut Fahmi, Malaysia ketika ini sudah mempunyai MoU sedia ada
dengan India, dan kerjasama tersebut akan terus diperkukuh, selain meneroka
pendekatan baharu dengan negara seperti Iran yang mempunyai cabaran
telekomunikasi tersendiri.
Dalam pertemuan itu juga, beliau memaklumkan kepada kedua-dua
rakan sejawatnya mengenai hasrat Malaysia untuk mempertahankan kerusi Majlis
Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada pemilihan yang dijadualkan
berlangsung pada November 2026.
“Penglibatan Malaysia dalam Majlis ITU bukan sahaja membolehkan
kita menyuarakan pandangan berkaitan isu piawaian, telekomunikasi dan 5G, malah
berkongsi pengalaman negara dalam memperluaskan capaian Internet ke kawasan
luar bandar dan pedalaman melalui inisiatif seperti Jalinan Digital Negara
(JENDELA),” katanya.

Post a Comment