ADDIS ABABA, 19 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengisi hari kedua lawatan rasmi beliau ke Ethiopia dengan rangkaian agenda utama merangkumi sambutan rasmi, forum perniagaan serta pertemuan dua hala bagi memperkukuh hubungan Malaysia–Ethiopia.
Perdana Menteri akan memulakan agenda
hari ini dengan kunjungan ke Muzium Peringatan Kemenangan Adwa, sebuah mercu
tanda kebudayaan ikonik yang memperingati kemenangan bersejarah Ethiopia dalam
Pertempuran Adwa pada 1896, yang menjadi simbol kebebasan Afrika serta
pemerkasaan masyarakat kulit hitam.
Bangunan berkenaan bukan sahaja
menjadi tumpuan pengunjung, malah sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai
acara kebangsaan yang menzahirkan nilai diplomasi, keberanian, perpaduan dan
kebanggaan nasional rakyat Ethiopia.
Seterusnya, Anwar dijadual mengadakan
kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Addis sebelum menghadiri Forum Perniagaan Peringkat
Tinggi Malaysia–Ethiopia. Anwar yang juga Menteri Kewangan akan turut
mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan bagi meneroka potensi kerjasama
ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri juga akan dibawa
melawat Istana Negara Ethiopia yang memaparkan sejarah dan budaya negara itu,
sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy
Ahmed Ali.
Kedua-dua pemimpin dijadual
menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan
kerjasama dalam bidang kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara serta MoU
kerjasama pelancongan.
Turut dimuktamadkan ialah dokumen
kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pentadbir Bandar Raya Addis
Ababa bagi mewujudkan mekanisme dialog strategik berterusan serta membuka ruang
kerjasama jangka panjang antara kedua-dua bandar raya.
Anwar dan Abiy Ahmed kemudiannya
dijadual mengadakan sidang media bersama sebelum agenda hari kedua diakhiri
dengan majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Perdana Menteri Ethiopia.
Lawatan ini merupakan lawatan sulung
Anwar ke Ethiopia dan sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh hubungan
dengan benua Afrika menerusi ibu pejabat Kesatuan Afrika yang berpusat di Addis
Ababa.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada
Julai 2002 dan dianggotai 55 negara memainkan peranan penting sebagai suara
kolektif benua Afrika di peringkat global, termasuk dalam menggalakkan
kerjasama antarabangsa.
Lawatan rasmi selama tiga hari ini
juga merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke
Malaysia pada Oktober 2024, selain bersempena sambutan ulang tahun ke-60
hubungan diplomatik Malaysia–Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.
Perdana Menteri diiringi Menteri
Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha
Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Ethiopia, negara terkurung daratan
dengan jumlah penduduk terbesar di dunia, merupakan rakan dagang ke-26 terbesar
Malaysia di benua Afrika pada 2023 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar
dalam rangka lawatan beliau ke benua berkenaan.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan
meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan bermula 20 hingga 23
Nov bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum meneruskan lawatan ke
Nairobi, Kenya pada 23 hingga 24 Nov, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah
air.

Post a Comment