Anggota Polis cedera kena serang samseng kelab malam di Bangsar

TIGA anggota polis yang sedang menyiasat sebuah insiden pergaduhan di Jalan Telawi 3 Bangsar, dilaporkan telah diserang oleh sekumpulan lelaki awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4:30 pagi itu, ketiga-tiga anggota Polis berkenaan dilaporkan sedang menyiasat satu kejadian di mana 6 pengunjung kelab malam yang baru saja meninggalkan Echo Club telah dibelasah oleh sekumpulan antara 8 orang lelaki.



Sumber polis memberitahu ahli-ahli kumpulan tersebut dalam keadaan mabuk dan seorang daripada mereka telah mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa. Mereka bagaimanapun telah berjaya melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mengadu kepada pihak polis.

Ketika tiga orang anggota polis datang ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan, seorang lelaki yang tidak diketahui datang dari arah Echo Club sambil menjerit ke arah pihak polis dan bertanya "apa masaalah kau?"

Tidak lama kemudian sekitar 8 hingga 10 orang lelaki bersenjatakan kayu dan botol telah keluar daripada kelab tersebut seterusnya menyerang anggota polis yang sedang bertugas.

Seorang daripada penyerang dikatakan menjerit "Berani kau kacau Gang 36?"

Salah seorang daripada anggota polis tersebut menjerit "polis" namun mereka nampaknya langsung tidak mempedulikan jeritan tersebut sebaliknya terus menyerang ketiga-tiga anggota polis berkenaan.

Kesemua lelaki yang terlibat bagaimanapun segera melarikan diri apabila seorang daripada anggota polis telah mengeluarkan sepucuk pistol.

Seorang daripada pegawai mengalami kecederaan serius dan menerima 30 jahitan di kepalanya selepas dikejarkan ke hospital Kuala Lumpur. Manakala seorang lagi dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Sebab pihak polis dilaporkan sedang menyiasat kejadian tersebut. — EdisiRakyat.com, 2 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post