KERANDA dilitupi bendera berisi mayat Nelson Mandela diarak di beberapa jalan raya sebelum tiba di bangunan Union Buildings yang menjadi ibu pejabat kerajaan Afrika Selatan di sini semalam.
Kereta jenazah Mandela yang diiringi 16 pengiring bermotosikal, meninggalkan Hospital Tentera 1 dan bergerak melintasi beberapa batang jalan raya di pusat bandar.
Orang ramai berbaris di sepanjang jalan sambil mengibarkan bendera negara untuk memberi penghormatan kepada ikon pejuang anti-Apartheid itu.
"Saya tidak pernah bertemu dengan Mandela, oleh itu, ini satu-satunya peluang untuk saya dan penting untuk saya memberikan penghormatan. Saya anak watan Afrika Selatan saya perlu melakukannya," kata seorang lelaki berusia 28 tahun, Vaughan Motshwene.
"Ia terasa seperti satu era sudah berakhir. Semua peluang yang saya dapat semasa membesar tetapi tidak dapat dirasai oleh ibu-bapa saya, Mandela memberikan semua itu," kata seorang kakitangan awam, Faaiqia Hartley, 27.
"Beliau memberikan kami semua peluang untuk menjadi yang terbaik untuk diri kami," tambahnya.
Konvoi berkenaan tiba di Union Buildings hampir satu jam kemudian.
Turut menyertai majlis penghormatan tersebut termasuk cucu lelaki sulung Mandela, Mandla Mandela.
Keranda Mandela yang dibuka seterusnya diletak di atas platform di dalam sebuah dewan teater bangunan tersebut untuk upacara penghormatan terakhir selama tiga hari.
Selain keluarga terdekat dan pemimpin negara, orang ramai dan selebriti turut diberi peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang sehingga esok.
Balu Mandela, Graca Machel mendahului untuk memberi penghormatan terakhir kepada suaminya dengan diikuti pemimpin negara itu dan tetamu kehormat dari luar negara.
Mandela yang juga bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan jatuh sakit selama beberapa bulan sebelum meninggal dunia Khamis minggu lalu pada usia 95 tahun — AFP
Post a Comment