Enam keadaan kita dihalalkan mengumpat

MENGUMPAT disebut al-ghibah dalam bahasa arab yang mana ia jelas sekali haram dalam Islam tetapi dalam beberapa keadaan, hukumnya menjadi harus bukan sunat.



Menurut al-Imam Al-Nawawi dalam Riyad al-Salihin, atas tujuan yang benar dan menurut​ syariat, mengumpat diharuskan.

Antara sebabnya-sebabnya:

1. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran

Ini adalah salah satu keadaan di mana kita perlu minta bantuan seseorang atau sesuatu organisasi sebagai orang tengah untuk mencegah kemaksiatan atau kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang.

Contohnya, membuat aduan kepada pihak polis atas perilaku seseorang atau jabatan agama Islam supaya tangkapan boleh dibuat untuk mengelakkan jenayah atau maksiat.

2. Meminta nasihat untuk meleraikan kekusutan

Keadaan ini di mana anda merujuk ke sesuatu jabatan untuk meminta nasihat tentang perlakuan seseorang.

Contohnya anda merujuk kepada pihak yang mengeluarkan fatwa atas perilaku bapa anda yang tidak mahu menguruskan tanah pusaka.

Tetapi andai anda ingin mengelakkan dari perlakuan mengumpat, anda boleh mengelakkan dari menyebut nama orang atau pihak yang berkenaan.

3. Sebagai peringatan untuk mengelakkan masalah

Ia bermaksud anda mengeluarkan kata-kata dan pendapat mengenai seseorang atau sesuatu organisasi tanpa menyembunyikan baik atau buruk untuk mengelakkan orang yang meminta pendapat mendapat masalah di kemudian hari.

Contohnya, apabila seseorang meminta nasihat daripada anda tentang calon menantu pilihan, besan, bersyarikat, memberi amanah, pergaulan dan berjiran.

Maka anda sebagai orang yang diminta memberi nasihat perlu jujur dalam memberitahu karaktor calon yang ditanya tanpa menyembunyikan apa-apa.

Ini supaya dapat mengelakkan penipuan, silap dalam pergaulan, silap memberi amanah dan masalah rumah tangga akibat tersalah pilihan.

4. Pelakuan buruk dan maksiat terang-terangan

Keadaan ini dimana anda perlu mengajak seseorang untuk sama-sama memberi nasihat kepada seseorang yang membuat maksiat secara terang-terangan dan meminum arak yang jelas haram menurut hukum Allah.

Bagaimanapun, anda haruslah fokus kepada matlamat anda menegur sesuatu yang haram dan elakkan menyebut perkara buruk tentang peribadi seseorang yang tidak berkaitan.

5. Bertanya akibat rasa teraniaya

Hal ini diambil dari kisah Hindun binti Utbah yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya, Abu Sufyan yang kedekut.

Beliau mengadu kepada Rasulullah betapa suaminya sangat kedekut dan tidak memberi nafkah yang cukup kepada beliau dan anak-anaknya.

Hindun ingin tahu adakah dia berdosa mengambil wang suaminya tanpa pengetahuannya?

Maka Rasulullah menasihati Hindun yang tertulis dalam Riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang berbunyi; "Ambillah hartanya dengan baik yang mencukupi keperluanmu dan anak-anakmu".

6. Untuk dikenali

Anda ingin bertanya pada kawan anda kepada seseorang tetapi amat sukar apabila nama yang disebut tidak dikenali.

Atas sebab itu, anda terpaksa menyebut mengenai fizikal orang yang dicari dengan menggambarkan dirinya yang seolah-olah menyebut keburukannya tetapi niat anda hanya agar dia dikenali bukan dengan tujuan mengejek.

Contohnya, Husin tempang, Halimah jongang, pian juling dan macam-macam lagi panggilan yang tidak sedap didengar.

Kesimpulannya, boleh dikatakan apa yang kita ucapkan bermula dari niat kita.

Andai sememangnya kita berniat menceritakan buruk seseorang, maka ia menjerumuskan kita ke lembah dosa kerana mengumpat jelas hukumnya haram.— EdisiRakyat.com, 28 April 2017.

Post a Comment

Previous Post Next Post