Hilang biasiswa jika kritik kerajaan di media sosial

KETUA Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA Datuk Seri Zainal Rahim Seman, dilaporkan sebagai memberi amaran bahawa pelajar di bawah tajaan jabatan itu akan kehilangan biasiswa sekiranya didapati mengkritik kerajaan.

Portal MyStar melaporkan, Zainal ketika dihubungi Sin Chew Daily berkata, adalah wajar biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar terbabit ditarik balik sekiranya mereka didapati mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej negara seperti di blog dan Facebook.


Akhbar itu melaporkan, ia adalah antara enam amaran yang digariskan JPA kepada kira-kira 1,000 pelajar yang mendapat 9A+ atau lebih dalam peperiksaan SPM dan menerima tawaran biasisiswa daripada jabatan itu.

Malaysiakini pula melaporkan, Zainal dipetik sebagai berkata, kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.

Beliau berkata, biasiswa diberikan kepada pelajar yang cemerlang bagi membantu mereka menumpukan pengajian, dan bukannya menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga memburukkan kerajaan.

"Kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar bagi membolehkan mereka menumpukan pelajaran dan menjadi profesional pada masa depan.

"Matlamat mereka adalah memberi tumpuan kepada pelajaran mereka. Kenapa mereka menabur fitnah untuk mencemarkan imej kerajaan?" soalnya.

Pada tahun ini, biasiswa JPA dilaporkan hanya ditawar kepada pelajar dalam negara berikutan kekangan kewangan yang dihadapi negara berpunca daripada pelbagai faktor ekonomi termasuk kejatuhan harga minyak. — EdisiRakyat.com, 2 May 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post