SEORANG remaja warga Singapura berusia 16 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) republik itu, selepas didapati merancang untuk menyerang umat Islam menggunakan sebilah parang di dua buah masjid sekitar Woodlands.
$ads={1}
$ads={2}
Remaja berkenaan dilapor merancang jenayah itu sempena ulang tahun serangan terhadap masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019.
Suspek yang tidak didedahkan namanya, merupakan seorang berbangsa India dan menganut agama Kristian, aliran Protestan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD), pada hari rabu, remaja itu merupakan individu paling muda pernah dikenakan ISA berhubung aktiviti keganasan.
Ketika ditahan, pelajar tingkatan 4 itu merupakan tahanan pertama yang terpengaruh dengan ideologi ekstrimis kata ISD.
Tambah kenyataan itu lagi, remaja tersebut terpengaruh dengan serangan terhadap dua buah masjid di Christchurch pada tahun 2019. Justeru dia merancang untuk melakukan serangan pada 15 Mac tahun ini.
"Dia mempunyai sifat radikal sendiri, mendapat inspirasi daripada kebencian terhadap Islam dan ghairah kepada keganasan,"
"Dia telah menonton video strim serangan pengganas terhadap dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019 dan membaca kenyataan awam dikeluarkan oleh Brenton Tarrant, penyerang berkenaan,"
Menurut ISD lagi, remaja itu juga telah menonton video-video propaganda ISIS, sekaligus membuat kesimpulan yang keliru bahawa ISIS mewakili Islam dan Islam menyeru penganutnya untuk membunuh orang-orang bukan Islam.
Meniru serangan masjid di Christchurch
Remaja itu juga didapati telah merancang secara terperinci dan membuat persiapan rapi untuk menyerang dua buah masjid iaitu Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak kerana kedua-kedua bangunan itu berdekatan dengan rumahnya.
Jelas sekali dia terpengaruh dengan Brenton Tarrant.
Remaja itu juga telah meninjau kawasan masjid tersebut secara atas talian, dan membuat kajian menggunakan Google Maps dan Street Views sebagai persediaan sebelum melakukan serangan.
Berdasarkan kenyataan ISD ketika taklimat media, remaja itu pada peringkat awal mensasarkan untuk menyerang Masjid An-Nur, namun kemudiannya berubah fikiran selepas mendapati Masjid Yusof Ishak lebih hampir dengan Masjid Assyafaah.
Remaja itu juga telah merancang laluan yang akan diambil, mengenal pasti pintu masuk, dan mengetahui di mana kenderaannya akan diletakkan.
Sebagai persediaan untuk melakukan serangan bersenjata, remaja itu telah menonton video-video di YouTube, dan merasa yakin untuk menebas bahagian salur arteri sasarannya secara rawak dengan melibas bahagian leher dan dada mangsa.
Ketika ditahan oleh pihak berkuasa Singapura, remaja itu telah berjaya menemui parang pilihannya menerusi laman web Carousell, dan menambahnya dalam senarai 'favorite' namun belum sempat membelinya.
Remaja itu memilih parang Smith & Wesson yang berharga S$190. Dia bercadang mengumpul duit untuk membelinya, dan yakin sempat untuk mendapatkan senjata itu ketika mahu melakukan serangan.
Rancangan Logistik
Serupa dengan apa yang dilakukan oleh Brenton Tarrant, remaja 16 tahun itu bercadang untuk memandu kenderaan di antara kedua buah masjid dan membiarkan enjin kenderaan itu dihidupkan.
Dia juga sedar betapa perlunya untuk bergerak dengan cepat di antara kedua-dua tapak serangan berkenaan.
Menurut ISD lagi, remaja itu berniat untuk mencuri wang daripada kad kredit bapanya, bagi menyewa kenderaan daripada BlueSG, selepas menyedari stesyen kenderaan syarikat itu hampir dengan rumahnya.
Dia tidak mempunyai lesen memandu tetapi yakin mampu melakukannya.
Sebelum memutuskan untuk menggunakan parang dalam serangan itu, "rancangan asal" remaja terbabit adalah menggunakan rifle seperti yang dilakukan oleh Brenton Tarrant.
Dia telah berjaya menemui seorang penjual menerusi Telegram, namun tidak meneruskan urusan jual beli selepas mengesyaki penjual itu seorang penipu selepas diminta melunaskan bayaran dalam bentuk Bitcoin.
Dia juga telah membuat semakan keperluan untuk memperolehi lesen senjata dan bahan letupan, dan memikirkan untuk menyertai Persatuan Rifle Singapura.
"Namun dia masih terus membuat carian senjata online, dan hanya membatalkan idea itu selepas sedar bahawa sukar untuk mendapatkan sebuah senjata susulan undang-undang kawalan senjata yang ketat di Singapura,"
Remaja itu telah belajar bagaimana untuk membuat sebuah bom triacetone triperoxide (TATP) dan mahu membakar masjid menggunakan petrol, meniru rancangan Brenton Tarrant.
"Dia akhirnya membatalkan kedua-dua idea itu disebabkan isu logistik dan keselamatan peribadi," kata ISD.
Remaja itu juga telah membeli sebuah vest taktikal pada bulan November lalu, dan bercadang untuk memasang simbol ekstrimis sayap kanan pada baju itu. Dia juga bercadang untuk mengubahsuai baju itu, supaya dapat menempatkan telefon bimbitnya bagi menyiarkan video serangan itu secara langsung, seperti yang dilakukan oleh Brenton Tarrant.
Mahu menyebarkan fahamannya.
Meniru lanjut perbuatan Brenton Tarrant, menurut ISD, remaja itu telah menyediakan dua buah dokumen yang akan disebarkan sebelum serangan.
Dokumen pertama merupakan sebuah mesej kepada rakyat Perancis, yang telah dikarangnya selepas serangan terhadap orang Kristian dalam sebuah gereja di Nice pada bulan Oktober tahun lalu.
Dalam mesej itu, dia menyeru rakyat Perancis untuk "Pertahankan apa yang benar," dan mendakwa "Kita tidak boleh membiarkan mereka (Muslim) mengintai dari dalam semak dan menanti mereka untuk menyerang,"
Menurut ISD, dokumen kedua yang masih belum siap ketika dia ditahan, mengandungi butiran kebenciannya terhadap Islam dan kepercayaannya bahawa "kekejaman tidak patut diselesaikan dengan keamanan,"
Karangan itu kebanyakannya diambil dari kenyataan yang ditulis oleh Brenton Tarrant dan merujuk pengganas itu sebagai seorang wali.
Menurut ISD rancangan dan persediaan terperinci itu membuktikan kesungguhan remaja tersebut untuk melakukan serangan.
"Semasa soal siasat, dia mengaku bahawa dia hanya mempunyai dua kemungkinan hasil rancangannya itu, samada dia ditangkap sebelum melakukan serangan, atau dia akan dibunuh oleh polis selepas melancarkan serangan,"
Bercakap kepada wartawan, K Shanmugam, Menteri Undang-undang Dan Hal Ehwal Dalam Negeri berkata "agak menggentarkan" mendengar seorang remaja bercakap seperti itu kepada pegawai ISD.
"Dia sudah bersedia, tahu dia akan mati, dan sudah bersedia untuk mati," tambahnya.
Menurut ISD, siasatan setakat ini menunjukkan bahawa remaja itu bertindak seorang diri, tiada bukti menunjukkan dia cuba mempengaruhi sesiapa dengan fahaman ekstrim itu atau melibatkan sesiapa dalam rancangan serangan itu.
"Keluarga terdekat dan kenalan sekelilingnya tidak sedar tentang rancangan serangan itu, serta kebencian mendalamnya terhadap Islam," kata ISD.
Agensi itu memaklumkan pihaknya telah menerima maklumat risikan pada bulan November lalu tentang seorang individu berpengkalan di Singapura yang mahu menyerang umat Islam Singapura.
Remaja itu telah ditahan di bawah ISA pada 26 November dan dikeluarkan satu arahan penahanan terhadapnya pada 23 Disember.
"Dia telah dinilai memberikan ancaman keselamatan yang besar," kata ISD.
Kes itu "perkembangan membimbangkan," kata Shanmugam, sambil menegaskan bahawa sejak 2015, seramai tujuh orang di bawah umur 20 tahun telah ditahan atau diberikan arahan sekatan mengikut ISA.
Sebelum ini, individu paling muda ditahan di bawah ISA ialah seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun yang menunjukkan sokongan terhadap ISIS. — EdisiRakyat.com, 27 Januari 2021
Sumber — channelnewsasia.com
Post a Comment