KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung isu penyasaran subsidi RON95.
Sebaliknya, arahan kepada MCMC adalah untuk meneliti sumber maklumat yang dirujuk bagi memastikan kesahihannya.
“Ada yang salah faham kononnya MCMC siasat Pagoh. Tidak.
Saya hanya minta MCMC semak sama ada maklumat yang dirujuk daripada tiga sumber ini benar atau tidak. Jika tidak sahih, kenyataan itu tidak tepat. Tunggu keputusan MCMC dahulu,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Menjawab soalan sama ada beliau bersedia memohon maaf kepada Muhyiddin, Anwar berkata beliau tidak keberatan berbuat demikian sekiranya semua sumber maklumat yang dirujuk terbukti tidak benar.
“Saya tiada masalah untuk mohon maaf.
Setakat ini, satu sumber sudah disahkan tidak tepat. Jika dua lagi sumber juga tidak sahih, saya akan jelaskan dan memohon maaf kepada Pagoh. Tunggu sahaja hasil siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, Muhyiddin menuntut Anwar menarik balik kenyataan yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu subsidi RON95, sambil mendesak Perdana Menteri memohon maaf di Dewan Rakyat.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment