KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga pada sesok.
Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah menghadapi tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 8.6 juta penerima akan mendapat bantuan sehingga RM650, meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima STR Fasa Satu pada Januari lalu.
Menurutnya, pertambahan jumlah penerima ini hasil dasar Kerajaan MADANI yang membenarkan permohonan baharu dan rayuan dibuat sepanjang tahun supaya tiada golongan layak yang tercicir.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun membuktikan kerajaan serius memikul amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat.
“STR bukan sekadar bantuan tunai tetapi suntikan untuk penerima membina kebebasan kewangan dalam mencapai kesaksamaan yang dihasratkan melalui Ekonomi MADANI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pembayaran STR Fasa Tiga akan dibuat secara kredit terus ke akaun bank atau tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), bergantung kepada kategori kelayakan penerima.
Kementerian Kewangan memaklumkan, pemohon yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR perlu mengemukakan permohonan baharu bagi tujuan verifikasi kelayakan.
Semakan status STR dan soalan lazim (FAQ) boleh diakses melalui Portal Rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment