Pembelian Pesawat Boeing langkah strategik, bukan Pembaziran

KUALA LUMPUR, 03 Ogos — Keputusan Malaysia Aviation Group (MAG) membeli pesawat Boeing bukanlah tindakan membazir wang rakyat, sebaliknya langkah strategik yang dirancang sejak awal dan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana syarikat. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, rancangan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac 2025.
Perkara itu jauh sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperkenalkan tarif baharu terhadap barangan import negara itu. “Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif?” soal beliau dalam satu catatan di platform X. 

Tengku Zafrul menerangkan, tarif baharu AS dilaksanakan bagi mengurangkan defisit dagangan negara itu. “Maksudnya, kita menjual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli dari mereka. Jadi AS cuba kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif tinggi, sehingga 25 peratus,” katanya lagi. 

Menurut beliau, Malaysia mengambil kesempatan situasi ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar oleh syarikat tempatan daripada AS — termasuk pesanan pesawat Boeing oleh MAG — sebagai bukti bahawa Malaysia juga merupakan pembeli signifikan produk Amerika. “Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” tegasnya. 

“Pendekatan ini menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia adalah rakan dagang penting, sekali gus meyakinkan mereka untuk menurunkan tarif eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.” 

Tengku Zafrul menyifatkan langkah itu sebagai strategi bijak hasil perundingan teliti yang memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara. Pada Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa MAG telah menempah 30 pesawat Boeing 737 yang dijadual diserahkan secara berperingkat menjelang 2030.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post