KUALA LUMPUR, 09 Ogos — Kejayaan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja merupakan hasil usaha bersama pelbagai pihak termasuk kepimpinan ASEAN, kata Perdana Menteri.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencapaian itu tidak hanya bergantung pada peranan Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya hasil komitmen dan tindakan segera semua pihak berkaitan, termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Panglima Angkatan Tentera telah menjalankan tugas dengan sangat cemerlang. Beliau terus berlepas ke Bangkok, Phnom Penh dan sempadan untuk berbincang dengan para jeneral yang bertanggungjawab. Itulah caranya — bukan saya seorang sahaja.
“Saya melaksanakan tugas saya, Menteri Luar berhubung dengan rakan sejawatannya, jeneral dengan jeneral.
Barulah kita dapat mencapai rundingan damai yang julung kali berlaku dengan cepat, Alhamdulillah,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendedahkan bahawa kejayaan diplomasi itu mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, yang menghubunginya bagi menyampaikan ucapan terima kasih atas usaha Malaysia.
“Trump hubungi saya dan ucapkan terima kasih, tetapi saya tekankan bahawa rundingan ini bukan usaha saya seorang.
Ia hasil kerjasama erat pemimpin ASEAN lain, selain komitmen kerajaan Thailand dan Kemboja yang turut memainkan peranan penting,” katanya.
Rabu lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk terus mematuhi gencatan senjata yang dimeterai pada 28 Julai lalu, dengan kedua-dua pihak mengekalkan penempatan anggota tentera sedia ada di sepanjang sempadan serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Persetujuan itu dimeterai semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narphanit.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lalu dicapai hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Ketegangan di sempadan kedua-dua negara memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment