KOTA MARUDU, 26 Nov - Kerajaan menyasarkan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna secara digital atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi semua platform media sosial menjelang akhir suku kedua 2026, sebagai langkah menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun.
Beliau berkata tempoh tersebut mengambil kira amalan terbaik yang
telah dilaksanakan di negara lain, termasuk Australia, dan sekiranya platform
berkenaan dapat memanfaatkan mekanisme yang sama atau hampir serupa, proses
pelaksanaan dijangka dapat dipercepatkan.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri
program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Simpang
Tiga Langkon, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan eKYC antara lain melibatkan mekanisme
pembekuan akaun bagi pengguna yang dikenal pasti berusia bawah 16 tahun, serta
proses pengaktifan semula akaun setelah pengguna mencapai had umur yang
ditetapkan.
Beliau berkata pengesahan identiti itu turut melibatkan penggunaan
dokumen pengenalan diri seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Langkah ini penting bukan sahaja untuk memastikan kanak-kanak
bawah usia 16 tahun tidak mengakses platform media sosial, malah bagi
membanteras kegiatan penipuan dan perjudian dalam talian yang kebanyakannya
menggunakan akaun palsu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan merancang untuk menambah
sebuah lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sabah, dengan beberapa
lokasi sedang dikenal pasti berdasarkan faktor lokasi, bentuk muka bumi dan
populasi penduduk.
Beliau berkata setakat ini terdapat 131 NADI di seluruh Sabah,
menjadikannya negeri kedua tertinggi dari segi jumlah pusat berkenaan selepas
Sarawak.

Post a Comment